in ,

Fever 333 Siap Sedia Untuk Menghangatkan Kuala Lumpur Februari Ini 

Trio dari Los Angeles yang dikenali dengan gabungan muzik genre hip-hop, punk dan aktivisme menjanjikan persembahan penuh bertenaga dalam konsert pertama di Malaysia pada 5 Februari 2020 bertempat di The Bee, Publika

Digelar ‘Rage of the Machine’ bagi generasi ini, kumpulan Fever 333 akan mengadakan persembahan sulung mereka buat satu malam sahaja di The Bee, Publika. Ini disahkan oleh promoter konsert, Skesh Entertainment, pada hari ini. 

Dianggotai oleh vokalis Jason Aalon Butler (bekas ahli kumpulan letlive.), pemain dram Aric Improta (dari kumpulan Night Verses), dan gitaris Stephen Harrison (bekas ahli kumpulan the Chariot), trio dari Los Angeles ini dikenali dengan mainan gitar yang padu, melodi yang keras dan bait-bait lirik yang menyentuh pelbagai isu semasa dalam gabungan muzik genre hip-hop, punk dan aktivisme.

“Fever 333 bermula sebagai satu gerakan dan ini adalah lebih penting dari muzik itu sendiri,”

– Butler

Butler yang juga bertanggungjawab menubuhkan Fever 333. Segalanya bermula secara organik selepas satu pertemuan yang tidak disengajakan dengan Travis Barker dari kumpulan blink-182 yang pada ketika itu telahpun mempunyai reputasi global. Butler kemudiannya menghabiskan banyak masa dengan Travis Barker dan juga rakannya, John Feldman, seorang produser muzik.

Poster

Perbualan-perbualan di antara mereka lantas mencetuskan inspirasi bagi album EP Fever 333 yang pertama pada tahun 2018 bertajuk Made an America.

“Kami banyak berbual tentang black punk rock. Punk rock dan hip-hop adalah serupa dari pelbagai segi.

Kedua-duanya adalah seni yang lahir dari ketidakselesaan dan perasaan yang membara.

Travis dan John amat menyokong hasrat saya untuk mencipta sesuatu yang unik dan sedikit bahaya dalam pendekatan terhadap muzik dan etos.

Kami bersetuju bahawa apa sahaja yang lahir dari kami harus mempunyai impak dan boleh dijadikan aspirasi untuk suatu perubahan.

Kami ingin melahirkan satu runut bunyi bagi sebuah revolusi yang kami pasti akan berlaku tidak lama lagi.”

– Butler

Di dalam tempoh ini juga Butler telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan membubarkan kumpulan letlive., yang ditubuhkan 15 tahun sebelum itu.

“Saya menghargai segala kejayaan yang telah kami kecapi semasa berada di dalam kumpulan letlive. Namun saya ingin bergerak ke arah sesuatu yang lebih spesifik dari segi visi muzik dan mesej yang disampaikan.

Dari pelbagai segi, samada personal, artistik, mental, emosi – saya agak radikal dan berpegang teguh terhadap apa yang saya percayai. letlive. telahpun mencapai cita-citanya. Kini adalah masa untuk era yang baru.” 

– Butler

Fever 333 mula menulis lagu-lagu dan pada tanggal keramat 4 Julai 2017, kumpulan ini telah membuat persembahan secara live buat kali pertama. Setiap elemen bagaikan satu tamparan kepada situasi politik Amerika pada ketika itu.

“Kami mempunyai pemain gitar berkulit hitam. Vokalis yang lahir dari perkahwinan campur dan pemain dram berkulit putih,” Butler menambah. “Segala-galanya mempunyai makna yang tersendiri.”

– Butler

Made an America telah dilancarkan tanpa sebarang pengumuman rasmi dan dengannya juga, sebuah single bertajuk, Trigger, tentang isu kontroversi keganasan senjata api di Amerika Syarikat.

Pada November 2018, kumpulan ini telah melancarkan Burn It sebagai single dan justeru mengumumkan butir-butir album penuh pertama kumpulan ini iaitu, Strength in Numb333rs, yang kemudiannya diriliskan pada 18 Januari, 2019. Fever 333 mula mencipta tapaknya sendiri dan menerima pencalonan anugerah Grammy bagi kategori Persembahan Rock Terbaik bagi album Made an America,dan Burn It pula menerima anugerah Lagu Terbaik di penganugerahan Kerrang! Awards.

Ini adalah konsert yang amat istimewa di ibu negara dari Fever 333 dalam suasana yang unik di The Bee, Publika. “Kepada anda semua yang mahukan perubahan, ini adalah masanya untuk kita berbicara tentang topik global ini. Ramai yang bertanyakan kepada saya apa yang saya mahu lakukan di masa hadapan – dan Fever 333 adalah salah satu daripadanya,” tegas Butler. 

Tiket-tiket boleh dibeli atas talian dengan melayari www.skeshmm.com dan bermula dari RM83.00 (early bird/pembeli awal), RM103.00 (advance), RM333.00 (VIP) dan RM133.00 di pintu acara konsert. Harga tiket tidak termasuk fi tiket tambahan.  Lokasi rasmi bagi konsert ini adalah The Bee, Publika. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TikTok Jalin Kerjasama Dengan iflix

Razak A’ai Pertaruh Single Pertama AKU SETIA