BUSANA ‘nasi lemak daun pisang’ rekaan Brian Khoo untuk digayakan oleh model Samantha Katie James ke pertandingan Miss Universe 2017 nampaknya mendapat perhatian ramai selain dikritik netizen.
Pereka fesyen Hatta Dolmat menerusi Instagramnya menyelar konsep pakaian berkenaan sebagai terdesak walaupun masih banyak rekaan lain yang boleh diketengahkan.
“Okay nasi lemak ‘marih’ (mari)! Tambah sambal lebih sikit orang Malaysia suka pedas! Ikan bilis lebih sikit faham kena jimat, oh ya tambah paru dengan sambal sotong. Jangan lupa daun pisang segar sikit, jangan pakai yang layu nanti nasi lemak tak segar rasa dia. Ok go Malaysia!
Pakaian nasi lemak mendapat kritikan daripada netizen.
“Tergamaknya hantar ini (merujuk pakaian nasi lemak) mewakili Malaysia untuk Miss Universe… Alahai… Sedihnya,” tulis Hatta menyindir konsep rekaan pakaian tersebut yang diperkenalkan kepada umum pada Selasa.
Pakaian itu memperlihatkan gaun putih sebagai gambaran nasi lemak dihiasi dengan manik berwarna merah seolah-olah ia sambal selain disertakan replika ikan bilis, telur rebus dan timun.
Manakala bahagian belakang gaun itu pula terdapat rekaan dua helai daun pisang.
Miss Universe 2017 edisi ke-66 bakal berlangsung pada penghujung November ini di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Sindiran Hatta mendapat perhatian pengikutnya.
Dalam pada itu, Hatta menerusi status berlainan berpendapat, songket mempunyai nilai lebih tinggi untuk diketengahkan selain ia mempunyai elemen tradisional.
“Kalau terdesak sangat dengan konsep nasi lemak, mungkin konsep ini lebih nilainya, dan ia adalah songket Malaysia dan mempunyai elemen tradisional.
“Kenapa ya kita begitu terdesak dengan konsep dan idea sedangkan apa yang kita sudah ada cukup tinggi nilainya?” Soal Hatta yang banyak menghasilkan busana untuk selebriti dan VIP tempatan.
Rata-rata pengikut pereka fesyen itu di Instagram turut bersetuju dengan pandangannya dan menganggap rekaan itu tidak sesuai dan merosakkan nama baik industri fesyen tempatan.
Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James (tiga dari kanan) bersama (dari kiri) Pengarah Komunikasi Arch Kuala Lumpur City Gallery, Carol Khan, Pengarah Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly, pereka fesyen, Brian Khoo dan Pengurus Pemasaran Traveloka, Joyce Kau pada sesi pengenalan pakaian tersebut pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly pada sidang media memperkenalkan busana itu memberitahu nasi lemak dipilih kerana ia menggambarkan identiti negara ini.
Kata Elaine, tema tradisional seperti songket dan batik sudah beberapa kali digunakan sebelum ini dan sudah tiba masanya Malaysia tampil dengan sesuatu yang segar namun masih mengekalkan ciri-ciri Malaysia.
“Jika kita lihat peserta dari Thailand dan Myanmar mereka sering tampil dengan konsep berbeza seperti kereta ‘tuk tuk’ dan patung boneka yang juga sebahagian daripada identiti mereka.
“Kita memilih nasi lemak kerana ia juga adalah sebahagian daripada diri dan identiti kita,” katanya.
Samantha juga bakal menggayakan gaun merah pada pertandingan itu.
Tahun lalu, wakil Malaysia ke pertandingan sama iaitu Kiran Jassal tampil dengan tema pakaian menara berkembar Petronas dan ia menjadi tular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Samantha, 22, terpilih mewakili Malaysia selepas menyandang gelaran Miss Malaysia Universe pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Brian ketika bercakap kepada The Star memberitahu, busana nasi lemak itu mengambil masa 400 jam untuk disiapkan selama sebulan.
Ditanya mengenai inspirasinya dalam mereka pakaian tersebut, Brian berkata, dia dan pasukannya ingin tampil dengan sesuatu yang unik dan ikonik pada pertandingan tahun ini.
“Nasi lemak adalah makanan yang hanya boleh didapati di Malaysia dan ia hidangan yang disukai oleh semua orang.
“Kami merasakan ia adalah pakaian yang tepat untuk menggambarkan keunikan Malaysia,” katanya.