in

Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas Kembali Lagi

Selama 7 tahun Budiey berkarier sebagai penulis blog hiburan sepenuh masa dan dalam tempoh itu, Budiey menjadi pemerhati setia perkembangan seni persembahan di Malaysia. Ya, dalam tempoh yang agak matang ini, Budiey juga menjadi pemerhati setia perkembangan seni persembahan di sebuah dewan yang berprestij iaitu Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang terletak di KLCC. Sepanjang tempoh itu, Budiey turut menerima jemputan untuk menyaksikan beberapa persembahan konsert dan ternyata persembahan di DFP bukan calang-calang.

Apatah lagi sekarang ini, sedang berlangsung DFP Seni Festival untuk tahun yang ke-4. Wow, pejam celik-pejam celik nampaknya DFP tak putus-putus memberikan satu suntikan dalam menyemarakkan lagi dunia seni persembahan tanahair. Jika pembaca nak tahu, DFP Seni Festival yang berlangsung selama selama satu minggu ini adalah satu pesta keraian yang menyajikan muzik ekstravaganza dalam perayaan seni dan budaya.

Suka Budiey mengimbau kenangan semasa tiga festival yang berlangsung sebelum ini, DFP dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) sudah meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan. Bukan sekadar menampilkan kolaborasi terunggul de­ngan artis-artis tempatan yang popular, malah ia mengangkat nama-nama pelukis-pelukis tersohor dan badan-badan kesenian juga.

Berbeza sedikit dengan tahun-tahun sudah, pesta kali ini DFP dan MPO akan mempersonakan khalayak dengan dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik, persembahan Makyung, MPO Rocks, MPO and All That Jazz dan Spectrum. Apa-apa pun, jika kita lihat balik tujuan festival ni dibuat adalah semata-mata mahu memartabatkan dan memupuk muzik tempatan dan tradisional serta seni bangsa kita.

Malam Melayu Klasik Bakal Meriahkan Hari Malaysia

[dropcap]S[/dropcap]ecara ringkasnya, festival ini dibuka pada hari yang penuh makna bagi kita semua iaitu Hari Malaysia yang jatuh pada hari Isnin, 16 September 2013 jam 8.30 malam dengan per­sembahan bertemakan Malam Melayu Klasik yang menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor (YWJ), penyanyi veteran lagu asli, Datuk Andre Goh dan penyanyi angkatan baru, Haziq.

Kalau nak dilihat semula, ini adalah kali kedua YWJ buat persembahan di DFP. Sebelum ini, badan kesenian popular dengan tarian zapin dan pernah mengadakan persembahan di luar negara ini telah memukau penonton semasa DFP Seni Festival 2011. Kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 dengan tujuan untuk mempromosi warisan budaya negeri Johor ini mempunyai pengalaman meluas dalam seni tari, muzik dan teater.

Pendek cerita, YWJ ni bukan sembarangan ya sebab jika anda masih ingat, YWJ juga pernah mengiringi persembahan Dato’ Siti Nurhaliza di London pada 2004. Mereka turut menerima pengiktirafan Anugerah Seni Negara pada 2004. Bagi persembahan kali ini YWJ bakal menyajikan seleksi lagu-lagu zapin dan ghazal yang mengasyikkan.

Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas Kembali Lagi

Budiey kira, pemilihan Datuk Andre Goh dan Haziq juga sangat tepat sebab kedua-dua bintang ini ada pengikutnya sendiri. Malah, kedua personaliti ini mewakili artis lama dan baru yang tak henti-henti menjulang lagu asli malar segar dari dulu sampai sekarang. Namakan tajuk lagu yang bakal dialunkan seperti Mas Merah, Pasir Roboh, Seri Mersing, Halimun Malam, Bunga Tanjung, Tak Seindah Wajah, Di Ambang Sore dan Mohon Kasih, pasti ramai yang tidak akan duduk diam dan mahu menari sama.

Budiey suka sentuh sedikit tentang Andre atau nama sebenarnya Goh Eng Boon ni. Kalau nak tahu, dia sebenarnya terkenal selepas menyertai Bakat TV anjuran RTM pada 1972. Untuk persembahan di DFP kali ini, beliau telah menyenaraikan 18 lagu untuk dinyanyikan. Pendek kata, Andre ni boleh nyanyi semua jenis atau genre muzik asli. Anda namakan, pasti menjanjikan persembahan yang menarik.

“Saya kena kenal pasti ‘audiens’ yang akan datang menonton sebelum pilih lagu untuk dinyanyikan. Bagaimanapun saya tetap akan menyampaikan lagu Mas Merah. Saya nak juga menyanyi lagu langgam yang berentak asli seperti Makan Sirih dan Seri Banang. Lagu langgam yang dinyanyikan pula iala Hiburkanlah Hatiku.”

Andre yang dikenali berkemampuan menyampaikan pelbagai genre lagu juga akan menyampaikan lagu ghazal dan joget. Dia juga masih memikirkan untuk berduet dengan Haziq dalam sebuah lagu.

Budiey pun dah beli tiket untuk malam ni dan ternyata sekarang ni tak sabar untuk melihat persembahan yang gah ini.

Persembahan Bertemakan Spectrum

Selepas, Malam Melayu Klasik diikuti pula dengan Persembahan Bertemakan Spectrum yang dijadualkan akan berlangsung pada 18 September 2013 jam 8.30 malam. Showcase selama 1 jam 30 minit bakal memukau penonton dengan persembahan tarian dengan seni tarian yang terkini lagi segar dengan menampilkan kumpulan penari yang diiringi oleh pemuzik handalan dari MPO yang diketuai oleh Kevin Field.

Persembahan Teater Tradisional Makyung

Persembahan Teater Tradisional Makyung

DFP Seni Festival diteruskan dengan sebuah persembahan teater tradisional Makyung pada Jumaat, 20 September 2013 jam 8.30 malam. Persembahan ini juga tak akan Budiey lepaskan sebab Budiey memang suka dengan persembahan Makyung. Nama pun orang Kelantan, jadi kenalah sokong seni budaya dari Kelantan, kan?

Persembahan Makyung ini dijayakan oleh Kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan bersama penari Makyung terkenal, Rosnan Rahman yang akan menyajikan Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading. Wow, siapa yang tak kenal dengan Rosnan Rahman sebab beliau adalah satu-satunya Pakyung yang sentiasa aktif di dunia pementasan Makyung dan dalam pada masa yang sama beliau berkerja sebagai Penolong Pengarah Kanan JKKN. Kalau tak silap Budiey, Rosnan Rahman pernah mewakili negara ke festival seni dalam dan luar negara seperti New York, Paris dan Jerman.

Dari segi cerita pula, Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading adalah sebuah kisah dramatik mengenai perebutan takhta di Kerajaan Ho Gading yang mempunyai tujuh putera. Nak tahu kesudahan cerita kenalah tengok persembahan Makyung ni. Sangat dramatik

Beliau juga mempunyai pengalaman luas menguruskan persembahan teater antarabangsa di Istana Budaya. Sebelum ini pernah terlibat dengan produksi seperti Makyung Puteri Jerijit Emas, teater Patung Kertas, monodrama Rebab Berbisik, teater muzikal Puteri Hang Li Po dan bangsawan Puteri Salasiah.

Persembahan MPO Rocks Bersama Ella, Man Kidal & Mus May

Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas Kembali Lagi

Pada 21 September 2013, DFP Seni Festival akan diteruskan dengan persembahan konsert akustik dari MPO bergabung dengan alunan lagu-lagu rock dari Ratu Rock Ella, Mus (vokalis kumpulan May) dan juga pemain gitar yang tak asing lagi, Man Kidal. Pastinya lagu-lagu yang mesra di telinga peminat dan lagu popular akan bergema seperti Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Standing in the Eyes of the World, Srikandi Cintaku, Sendiri, Highway Star dan banyak lagi. Konsert ini akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan pengarah artistik oleh Dato’ Ramli MS.

Ella

Persembahan MPO Bersama All That Jazz Menampilkan Atilia, Dina Nadzir & Elvira Arul

Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas Kembali Lagi

Akhir sekali, persembahan MPO Bersama All That Jazz akan menamatkan festival tahunan ini dengan menampilkan penyanyi yang tak asing lagi, Atilia, Dina Nadzir & Elvira Arul. Mereka bertiga akan mendendangkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris dengan irama jazz yang mengasyikkan. Antara lagu yang bakal berkumandang ialah Tudung Periuk, When I Fall In Love, Imagine, Itulah Sayang, Old Love, Sangkar, I’d Rather Go Blind dan Getaran Jiwa. Semua lagu ini akan ditukar kepada irama jazz, mesti menarik ni, kan? Jadi, Budiey juga tak nak lepas kan peluang dan mahu hadir di persembahan ini yang akan berlangsung pada 22 September 2013 jam 8.30 malam.

Harga tiket untuk menonton persembahan Malam Melayu Klasik ialah Premium: RM130, A Reserve: RM100, B Reserve: RM70 dan C Reserve: RM50.

Manakala untuk menonton Makyung pula ialah Premium: RM80, A Reserve: RM60, B Reserve: RM40 dan C Reserve: RM20.

Ticket Prices (MPO Rocks)
Premium: RM300, A Reserve: RM250, B Reserve: RM200, C Reserve: RM150

Ticket Prices (MPO and All That Jazz)
Premium: RM250, A Reserve: RM180, B Reserve: RM130, C Reserve: RM60

Ticket Prices (Spectrum)
All tickets: RM35

Untuk menempah tiket, anda boleh hubungi: 03- 2051 7007 atau Fax Bookings: 03- 2051 7077 atau boleh juga email Bookings: [email protected]

Untuk info lanjut, sila layari laman sesawang: www.mpo.com.my

Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas Kembali Lagi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyanyi Black Selamat Bernikah Dengan Chira Khairi

Fouziah Gous & Zhafran Umum Nikah 21 September Ini