Festival selama dua hari yang diusahakan oleh Meja Poedjangga dan Youth Beat dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni & Budaya Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Majlis Daerah Gerik itu dimulakan dengan sesi interaktif oleh WWF Malaysia dan Perbadanan Taman Negeri Perak yang membuat perkongsian tentang usaha konservasi yang dijalankan oleh organisasi tersebut dalam memelihara dan memulihara hidupan liar serta alam flora dan fauna yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Universiti Malaysia Kelantan seterusnya membawa keunikan tarian Ulek Mayang, Dikir Barat dan deklamasi puisi terbuka dalam slot Muzika Danauloka yang dipersembahkan oleh siswa dan siswi universiti tersebut sebagai salah satu usaha pendidikan seni kepada masyarakat terutama belia yang hadir.
Turut menarik perhatian pengunjung ialah tayangan filem puisi yang diarahkan oleh tiga orang pengarah muda; Ariff Zulkarnain melalui Laut Tak Biru Di Seberang Takir karya sasterawan Terengganu T. Alias Taib, Syahmi Norsan (penerima anugerah BMW Short FIlm) dengan Rahasia dan Perempuan Dari Masa Lalu karya Wafa Aula yang diterjemahkan oleh pengarah Helmie Yusoh.
Dua filem tersebut turut dibicarakan oleh dua orang pengarah iaitu Ariff Zulkarnain dan Syahmi Norsan yang membincangkan keunikan sesebuah puisi untuk dipindahkan dalam medium yang berbeza untuk disampaikan kepada khayalak.
Kemuncak festival yang diadakan di tengah pergunungan Taman Negeri Royal Belum dan dihadiri oleh lebih 500 pengunjung ialah Konsert Nada Danau yang dikemudikan oleh Arja Lee serta membawakan sejumlah seniman terkenal negara termasuklah Datuk Dr. Lim Swee Tin yang mempersembahkan deklamasi puisi dalam tarian menora bergandingan dengan puisitari Shirley Idris.
Deklamator kebangsaan Lin Haslinaz memukau melalui puisi Kita Meminjam Masa Hadapan serta Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri turut mencuri perhatian dengan persembahan dua buah lagu mereka yang digubah menjadi nuansa tradisional selain kemunculan Bintang Paling Popular 2023 Bell Ngasri dengan puisi bertemakan Palestin.
Penyanyi, Penyair Muda ASEAN 2015 yang juga pengarah festival, Umar Uzair turut mempersembahkan lagu puisinya Cenderawasih dan Hasrat Sang Enggang diiringi kumpulan Sri Kenchana berharap akan lebih banyak acara besar yang mengangkat seniman puisi dan kepuisian seperti ini pada masa akan datang dengan sokongan dan penglibatan lebih banyak organisasi serta menyambut baik cadangan pihak berkuasa tempatan untuk penganjuran seterusnya sempena Tahun Melawat Perak 2024.