Setelah berjaya menganjurkan dua festival berturut-turut dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengunjung, Atas Angin Festival 2024 kini bersedia untuk kembali menggegarkan Rooftop @7, MyTown Cheras pada 3 Ogos ini. Edisi kali ini dijangka lebih besar dan lebih meriah daripada tahun sebelumnya.
Festival Atas Angin kali ini menjanjikan sesuatu yang luar biasa dengan penyertaan 101 artis tempatan dan penyediaan lima pentas berbeza yang akan menampilkan persembahan yang memukau sepanjang hari. Di samping mencipta sejarah tersendiri, Atas Angin MY bercita-cita untuk menjadi penganjur festival indie terbesar di Asia Tenggara.
Acara ini akan merangkumi pelbagai kategori persembahan termasuk artis berkumpulan, artis solo, dan DJ. Antara barisan artis yang akan membuat penampilan termasuklah Bittersweet, Alleycats, Hyper Act, Amir Jahari, Estranged, lamNEETA, Iqbal M., Jemput Dengar, Kyoto Protocol, dan ramai lagi. Dengan barisan artis yang begitu mantap, pengunjung pasti akan disajikan dengan hiburan yang tiada tandingan.
Festival ini akan berlangsung selama 15 jam tanpa henti, bermula dari pukul 9 pagi dan akan berterusan sehingga acara tamat. Selain menjadi platform hiburan, Atas Angin Festival juga bertujuan untuk mengangkat nama dan mempamerkan bakat artis-artis tempatan di Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket, jualan tiket kini berada di fasa ketiga. Tiket boleh didapati di laman sesawang www.atasangin.com dengan harga serendah RM 159 untuk tiket solo, RM 300 untuk tiket duo, dan RM 556 untuk tiket kumpulan. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara hebat ini dan saksikan sendiri kehebatan artis-artis tempatan di Atas Angin Festival 2024.