Dalam dunia perfileman Malaysia, nama Feroz Kadir mungkin tidak seampuh pengarah arus perdana yang lain. Di gelanggang televisyen, ya, beliau sudah lama ‘makan garam’. Tapi untuk layar perak? Tak ramai yang berani bertaruh namanya lagi. Namun, seperti api yang marak perlahan sebelum membakar, Feroz kini tampil dengan satu projek berani berjudul Balas Balik, filem yang cuba mencengkam perhatian dari mula hingga tamat tayangan.
Feroz bukannya pengarah klise yang percaya pada letupan, tembakan membabi buta atau adegan kejar mengejar kereta macam kebanyakan naskhah aksi. Baginya, cerita yang kukuh adalah jantung sesebuah filem. “Cerita mesti ada makna, ada warna, ada rasa. Sama ada seronok, marah, resah atau insaf – filem kena tinggalkan sesuatu dalam hati penonton,” ujar Feroz, santai namun penuh keyakinan.
Balas Balik Bawa Naratif Segar Dengan Elemen Suspens Yang Padu
Balas Balik bukan sekadar percubaan biasa. Ia adalah sebuah naskhah penyiasatan bergaya, dengan Shukri Yahayamemegang watak utama sebagai Detektif Zul. Bukan lagi kisah hero bersinglet bersenjatakan pistol, filem ini membawa kita ke medan penyiasatan minda – kes kematian mengejut seorang CEO syarikat telekomunikasi, yang disangka bunuh diri, namun mula menunjukkan misteri yang membelit.
Filem ini jauh dari gaya Polis Evo atau Sheriff. Balas Balik lebih bermain dengan teka-teki, dengan genre penyiasatan jenayah yang sarat dengan suspens dan twist dramatik. Penonton bukan sahaja diajak menyiasat, tetapi dipaksa untuk memikirkan bersama sepanjang durasi cerita.
“Kalau filem seram perlukan jumpscare, filem ini letak ‘hook’ pada rasa suspens. Itu yang kita gunakan untuk pegang perhatian penonton,” jelas Feroz tentang falsafah pembikinannya.
– Feroz
Skrip Ditulis Dengan Ketelitian Untuk Kekalkan Momentum Cerita
Membina sebuah filem sebegini bukan kerja sehari dua. Feroz mendedahkan, “Tiga bulan saya ambil untuk tulis skrip. Bukan main taip sembarangan, kami berbincang, perhalusi setiap babak.” Tekanannya jelas – story line mesti padu, mesti bawa momentum dari babak pertama hingga penutup.
Beliau menambah, “Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang dilahirkan sebagai filem, bukan drama.”
Masih ada unsur komersial, katanya – bukan sepenuhnya dark movie atau filem seni yang berat kepala. Tapi setiap adegan mesti ada motif kukuh. Setiap pergerakan kamera, setiap kata-kata, semuanya mesti menuju ke satu ‘hidden point’ yang hanya akan terlerai di hujung cerita.
Fokus Kepada Setiap Watak, Bukan Sekadar Detektif Zul
Satu perkara yang membezakan Balas Balik daripada filem biasa ialah cara Feroz membentuk setiap watak. Bukan hanya Detektif Zul yang diberi spotlight – semua karakter, dari saksi hinggalah suspek, dirancang dengan motif tersendiri.
“Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan. Semua ada agenda, semua ada rahsia. Mereka semua penting untuk puzzle ini,” katanya.
Itulah sebab kenapa filem ini bukan sekadar ‘siapa bunuh siapa’, tetapi tentang kenapa, bagaimana, dan apa yang tersembunyi di sebalik tindakan mereka.
Sinopsis Penuh: Misi Mengungkap Misteri Kematian Datuk Roslan
Plotnya cukup menggiurkan. Datuk Roslan (dilakonkan oleh Tony Eusoff), seorang CEO syarikat telekomunikasi, ditemui mati di pejabat. Kes disangka bunuh diri. Tapi Detektif Zul – dengan intuisinya yang tajam – mengesan sesuatu yang tak kena.
Penyiasatan membawa beliau menggali rahsia dalam kalangan pekerja syarikat dan keluarga Datuk Roslan sendiri. Satu demi satu motif tersembunyi didedahkan, membawa penonton menelusuri lorong-lorong berliku dalam mencari kebenaran.
Shukri Yahaya, Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee, Meor Mohd, Razman Mahayudin, Josiah Lim, dan Maisara Sufia bergabung dalam barisan pelakon yang menjanjikan prestasi padu dan memukau.
Filem Ini Dijangka Memberikan Nafas Baharu Kepada Genre Penyiasatan Tempatan
Berbeza dengan filem-filem penyiasatan yang pernah dihasilkan sebelum ini, Balas Balik tampil lebih berani dengan memfokuskan kepada emosi, motif psikologi, dan suspens yang membara. Ada sesuatu yang lebih mendalam di sebalik adegan soal siasat dan plot twist yang berlapis-lapis.
Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd selaku penerbit tampak serius mahu membawa filem ini sebagai taruhan besar tahun ini. Dengan pelancaran pada 29 Mei 2025, filem ini dijangka bakal mencetuskan satu fenomena baharu kepada genre filem penyiasatan tempatan.
Apa Kata Budiey?
Balas Balik adalah taruhan berani yang wajar dipuji. Dalam dunia filem tempatan yang sering bermain di zon selamat – filem cinta remaja, komedi slapstick, atau seram tangkap muat – hadirnya sebuah naskhah penyiasatan serius sebegini adalah satu langkah progresif.
Feroz Kadir berani menongkah arus, mengingatkan kita bahawa cerita yang kuat, skrip yang ketat, dan watak yang berlapis-lapis adalah formula abadi dalam dunia perfileman. Budiey percaya jika filem ini berjaya memikat penonton, ia boleh membuka laluan kepada lebih banyak filem penyiasatan yang serius dan matang di Malaysia.
Kalau anda pencinta misteri, penyiasatan, atau sekadar mahu menonton sesuatu yang lain dari kebiasaan, Balas Balikmungkin jawapan yang anda cari. Jangan lupa tandakan kalendar – 29 Mei ini, siap sedia masuk dunia penuh tanda tanya!