Kesungguhan dan keikhlasan seorang suami yang tidak berputus asa untuk memenangi hati isterinya semula akhirnya dibalas dengan happy ending! Drama adaptasi novel karya Ridhya Iman, “Titian Cinta” berjaya menambat hati 11 juta peminat drama Melayu untuk mengikuti masam manis perkahwinan Haris & Aisy, gandingan pertama Zul Ariffin dan Farah Nabilah yang mantap menerusi slot Akasia TV3 dari 12 September hingga 30 Oktober 2017.
Titian Cinta terbitan Zamriez Golden Pictures dan diarahkan oleh Heykal Hanifah telah mencipta fenomena tersendiri apabila drama bersiri 28 episod ini sekali lagi menjadi ‘kegilaan’ penonton setia slot Akasia setiap kali ke udara. Rating terkumpul untuk semua episod Titian Cinta ini berjumlah 11 juta penonton dan episod akhir yang bersiaran pada 30 Oktober 2017 dari pukul 7.00 malam sehingga 8 malam telah mencecah 4.3 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “Kami sangat bersyukur apabila slot Akasia sekali lagi berjaya mencipta fenomena tersendiri menerusi drama Titian Cinta. Sepanjang siaran, Titian Cinta bukan sahaja berjaya menarik 11 juta penonton di TV3 tetapi ia juga mencatat rekod sebagai tontonan drama paling tinggi di portal video Nombor Satu Malaysia, tonton.”
“Jutaan terima kasih kepada pihak produksi, barisan pelakon yang berbakat besar dan tidak ketinggalan penonton-penonton setia Akasia kami! Titian Cinta membuktikan kejayaan slot Akasia tidak hanya bersandarkan populariti novel atau barisan pelakon tetapi kami juga mahu berkongsi kisah – kisah yang dapat memberikan kesedaran dan pengajaran kepada penonton kami,” tambah Puan Siti Nurlisia lagi.
Titian Cinta berkisar tentang rumah tangga antara Aisy (Farah Nabilah) dan Haris (Zul Ariffin). Setelah empat tahun, kepulangan Aisy memang ditunggu-tunggu oleh Haris. Disebabkan hatinya dikaburi oleh perasaan cemburu, Haris sanggup menghina dan menghalau isterinya sendiri pada empat tahun yang lalu. Dia menyesal dengan tindakannya akibat mempercayai fitnah serta hasutan Sofea (Tisha Shamsir), dan ingin menebus segala kesalahannya.
Aisy yang menyangkakan dirinya sudah diceraikan, terkejut dengan perubahan suaminya yang dahulu bersifat panas baran, kini menjadi sangat penyayang. Haris sabar dengan karenah dan sikap Aisy terhadapnya. Dia langsung tidak berputus asa untuk memikat semula hati isterinya yang telah dilukai. Pelbagai perkara telah dilakukan oleh Haris untuk melembutkan hati isterinya itu.
Kemunculan Rayyan (Daler Yusuf) iaitu bekas tunang Aisy telah menyebabkan Haris kembali kepada perangai asalnya, seorang yang kuat cemburu. Sofea pula berdendam dengan Aisy kerana mengahwini bekas tunangnya iaitu Haris. Dia ingin memporak-perandakan rumah tangga Aisy dan Haris agar mereka berdua bercerai.
Anda masih tidak puas hati untuk melayan kisah cinta Aisy dan Haris? Jom saksikan Titian Cinta di portal video tonton, www.tonton.com.my Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.