Difahamkan kawasan peranginan yang dimaksudkan ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.
Menurut Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan (Rekey), Mohammad Firdaus Mohmad, 36, yang kebetulan tinggal di kawasan itu, kejadian tersebut berlaku dengan pantas dan tidak dijangka.
“Dari pagi hujan lebat di atas Gunung Jerai, namun di bawah ini hujan tidak begitu lebat.”
Secara tiba-tiba, dalam pukul 3 petang, kepala air berlaku di kawasan air terjun termasuk di Pusat Peranginan Seri Perigi. Air sangat kuat dan deras, sehingga merosakkan kawasan itu” katanya dipetik dari Awani.
Video dan foto kejadian turut tular di media sosial dikongsikan penduduk-penduduk di kawasan berhampiran yang turut terjejas.
Terdengar Deruan Air Kuat
Menerusi laporan Kosmo! Seorang penduduk di Kampung Perigi, Zamzurina Ab. Rahman, 45, memberitahu dia yang berada di ruamh secara tiba-tiba terdengar deruan air kuat dari kawasan Seri Perigi pada jam sekitar 3.30 petang.
Dia kemudian bergegas ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah nya dan terlihat limpahan air akibat kepala air yang turun dari air terjun.
“Keadaan air deras yang turun dari kawasan air terjun itu sangat menakutkan yang mana air turut melimpah ke beberapa rumah dan chalet berhampiran,” katanya kepada Kosmo!