in

Fenomena Gangnam Style Cetus Idea Malam Gala Inspitari 2012

INSPITARI 2012 : GEGARKAN KHAZANAH TARI MALAYSIA

Fenomena ’Oppa Gangnam Style’ menggegarkan dunia apabila persembahan gerak tari yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat Korea di bandar Gangnam menjadi inspirasi kepada penghibur Korea yang tersohor Psy. Psy telah mencetuskan fenomena tersebut sekelip mata apabila videonya yang dimuatkan di laman You Tube mencecah angka 90 juta penonton.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengajak semua masyarakat Malaysia yang meminati seni tari untuk menyaksikan Inspitari yang telah dimulakan sejak 2009 yang lalu pada 12 dan 13 Oktober ini bagi memberi peluang serta maklum balas positif hasil olahan karyawan tari dari 15 buah Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negara. Meskipun olahan ini mungkin dilihat masih ’raw’ dan memerlukan banyak sentuhan dan gilapan semula, namun apa yang penting ialah maklum balas yang baik memungkinkan olahan tersebut boleh dipopularkan oleh penggiat tari dan industri hiburan negara ke peringkat global. Siapa sangka, kemungkinan gerakan ’ayam didik’ yang merupakan antara khazanah tari negara boleh diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang kontemporari mampu meledakkan gerakan ’ala Malaysia’ ke peringkat antarabangsa.

Malam Gala Inspitari 2012

Persembahan Inspitari memaparkan elemen Malaysia dan olahan semula gerak tari Malam Gala Inspitari kembali lagi pada 12 dan 13 Oktober ini di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut. Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara. Inspitari yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia serta keunikan masyarakat Malaysia yang cuba dikupas oleh Kumpulan Kesenian JKKN seluruh Negara menerusi olahan tari.

Program kesinambungan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) menyaksikan acara anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kali ini mendapat kerjasama Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi saksi utama, satu lagi sejarah seni tari bakal terukir dengan penampilan karya tari kreasi baru yang boleh dijadikan koleksi ’repertoire’ negara satu masa nanti.

Program Inspitari adalah platform khusus untuk pencernaan idea dan garapan ilham oleh koreografer-koreografer Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di semua negeri. Inspitari dimulakan pada tahun 2009 dengan tujuan murni untuk memperkayakan vokabulari dan khazanah tari tanah air dengan memperbanyakkan koleksi tarian-tarian mengikut identiti negeri masing-masing. Inspitari 2011 pada tahun lepas telah membuahkan hasil membanggakan apabila diantara 14 tarian baru yang dipentaskan ketika itu, sekurang-kurangnya enam tarian telah dimantapkan dan dimasukkan di dalam repertoire persembahan yang dilaksanakan oleh JKKN untuk acara-acara yang dikendalikan samada diperingkat negeri, nasional atau antarabangsa.

Diantaranya ialah tarian ‘Nego’ oleh JKKN Kelantan– tarian berasaskan gelagat para peniaga wanita di Pasar Buluh Kubu, Kelantan, Tarian ‘Sambai’ – yang diadaptasi dari tarian rakyat Suku kaum Suluk di Daerah Sandakan. Tarian ‘Ayak-ayak’ – tarian yang menyerlahkan pergerakan aktiviti melombong bijih timah oleh pelombong bijih timah di Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Begitu juga JKKN Melaka yang tidak kalah mempertaruhkan kesenian masyarakat Portugis dengan tarian ‘Golek-golek’ merupakan tarian kreasi baru yang direkacipta berasal daripada lagu ‘golek-golek’ ciptaan Noel Felix, seorang Portugis tempatan lebih kurang 50 tahun dahulu.

Manakala Inspitari pada tahun 2012 ini akan menyaksikan kesemua 16 tarian yang dihasilkan atau diolah semula ini telah diberi nafas segar dari segi pola lantai, pergerakan dinamik mahupun susunan lagu dan busana. Lebih 274 orang Artis Budaya (Tari) Kumpulan Kesenian (KK) JKKN dari seluruh negara akan mengikuti Inspitari 2012. Antara tarian yang bakal dipersembahkan ialah Tarian ‘Awang Batil’ oleh KK JKKN Perlis, ‘Tari Jelapang’ oleh KK JKKN Kedah denan inspirasi daripada pergerakan pesawah dan mitos semangat padi, KK JKKN Pulau Pinang bakal menyusul dengan ‘Lanca’ atau beca yang popular di Georgetown, KK JKKN Perak pula mempersembahkan koroegrafi tari yang diberi sentuhan segar dari sebuah tarian sukuan/daerah negeri iaitu ‘Gambus Kampung Padang Changkat’, dari Kuala Kangsar Perak. Sementara itu, KK JKKN Selangor menghidangkan ‘Zapin Cemara’, KK JKKN WP Kuala Lumpur pula tidak kalah dengan ‘Zapin Woye’ yang diolah dari kombinasi gerakan wayang kulit dan dinamisme zapin.

KK JKKN Negeri Sembilan menghidangkan ‘Seramik’, KK JKKN Melaka pula membawakan Tarian ‘Inang Bukit Cina’ merupakan inang kreasi yang memperlihatkan gaya gerakan inang baru yang ditari menggunakan bim poh (sapu tangan) hasil asimilasi budaya Melayu dan Cina membentuk Baba Peranakan. KK JKKN Johor pula bakal menggegarkan dengan ‘Tari Masadeka’ yang diilhamkan dari gerakan teater rakyat Hamdolok dari Batu Pahat.

Bagi negeri-negeri pantai Timur pula, Tari “Moh Mutik Teh” merupakan koreografi baru yang direka khas dan diadaptasi dari aktiviti harian penduduk tanah rata atau tanah tinggi di Cameron Highland serta dibawakan oleh KK JKKN Pahang. KK JKKN Terengganu membawakan Tarian ‘Tedung’ yang diangkat dari kesenian “SABA” yang merupakan persembahan bagi tujuan perubatan tradisional. KK JKKN Kelantan yang pernah menggegarkan pentas dengan Tari ‘Nego’ pada Inspitari 2011 pula membawakan ‘Dikir 3D’ yang menampilkan olahan dari 3 dikir utama negeri Kelantan iaitu Dikir Laba sebagai tonggak di susuli Dikir Rebana Kercing dan Dikir Kreatif sebagai gabungan kreatif seni budaya Kelantan.

Menarik bagi KK JKKN Sabah pula, ‘Selendang Cocos’ yang diinspirasikan dari Tarian Melenggok; salah satu tarian daripada etnik Cocos di Kg.Cocos, Tawau. Penari melenggok mengunakan selendang yang diibaratkan seperti layang-layang ditiup angin. KK JKKN Sarawak pula menyajikan ‘Tarian Sirat’ yang menggambarkan keadaan semasa sambutan Hari Gawai yang disambut oleh masyarakat Iban di Sarawak. Orang lelaki dan perempuan akan memakai pakaian tradisi yang lengkap sebagai tanda menyambut perayaan yang penuh bermakna ini. Pahlawan lelaki akan memakai “Sirat”. “Sirat” ini menjadi lambang salah satu kesenian yang menjadi kebanggaan pada masyarakat Iban dan merupakan tenunan kain “pua”. KK JKKN Ibu Pejabat turut tidak ketinggalan menghidangkan ’Tingkah’ yang tentunya memberi satu kelainan dan sudut pandng yang berbeza.

Sekalipun bertunjang komersial, keaslian dan disiplin dalam tarian tradisional masih dikekalkan. Improvisasi yang diketengahkan bertujuan menghasilkan persembahan yang lebih menarik, relevan dan seiring dengan tuntutan peredaran zaman.

Menurut YBhg. Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN – Kesemua 14 kumpulan mewakili seluruh negeri sebelum ini telah melalui pengisian program seperti bengkel dan latihan kumpulan yang berlangsung sebelum ini. Tugasan yang diberikan kepada para koreografer seluruh negara adalah mudah : iaitu menghasilkan sebuah tarian sama ada berasaskan tarian sedia ada masyarakat setempat di negeri masing-masing. Membuat olahan semula agar ia lebih menarik dan segar, sesuai dengan keadaan masa kini agar dapat dihindari dari kepupusan, sebaliknya akan terus dilestarikan oleh generasi masa kini. Atau, garap sebuah tarian baru berasaskan kehidupan masyarakat setempat masa silam atau masa kini.

Berdasarkan penyelidikan dan olahan semula, 16 tarian yang dikoreografkan oleh 16 orang koreografer pada Malam Gala Inspitari ini telah melibatkan 274 orang Artis Budaya (Tari) di bawah JKKN. Apa yang telah dipersembahkan mungkin bukan sempurna sepenuhnya, namun setidak-tidaknya, idea baru dan garapan segar telah mula dibenihkan melalui persembahan pada malam ini. JKKN amat menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksperimen di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan mereka agar sejajar dengan arus pemodenan dunia tanpa sempadan kini.

JKKN sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanahair dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV9 Anjur Raudhah DiHatiku di Masjid Al-Falah USJ9

Inspitari 2012