FELIX JADI PENGEMBALA KERBAU DALAM DRAMA KHAS RAMADHAN DI TV1
Lama tidak muncul dalam industri muzik tanah air tiba-tiba pemilik nama Felix Bin Agus muncul sebagai pengembala kerbau pula. Pada masa sama dia turut tergila-gilakan gadis pujaan ramai di kampungnya yang dikenali sebagai Sapiah. Adakah dia sudah melupakan terus bidang nyanyian yang diminatinya? Atau pun mula jatuh cinta dengan kerjaya barunya sebagai pengembala kerbau?
Namun segalanya berlaku hanyalah pelantun lagu Aku Pencintamu ini melakokan watak utama menerusi drama komedi tayangan khas Ramadhan ini bertajuk Maung Si Pengembala Kerbau pada 15 Ogos 2010 (Ahad), jam 10.05 pagi di TV1 yang menyaksikannya bergandingan dengan pelakon lain antaranya Nonny Nadirah Zainuddin, Ebi Kornelis@ Firdaus Bin Yamal, Nordawati Daud, Masti Inongan Hj Suin, Mohamad Bin Salleh dan Jifrun Bin Baidullah.
Drama komedi menghiburarkan ini berkongsi watak Maung, seorang pemuda bersifat lurus bendul dan bodoh-bodoh alang tetapi sangat rajin bekerja. Walaupun demikian,sebagai manusia, Maung tetap ada hati dan perasaan. Yang memikat hatinya bukan calang-calang orang tetapi Sapiah, gadis pujaan ramai pemuda kampung, anak Pak Jumil yang merupakan seorang tauke kerbau.
Kulurusan Maung dan ‘gilanya’ terhadap Sapiah menyebabkan dirinya diambil kesempatan oleh Sapiah. Apa saja yang diminta dan disuruh Sapiah, termasuk mencari ayam hutan di kawasan yang dipercayai “keras” dan ditakuti oleh orang kampung, Maung cuba mendapatkannya.
Ibu Maung, Bu Ranik sedar perasaan anaknya dipermainkan Sapiah. Kerana itu dia lebih senang jika Maung dijodohkan dengan Jijah yang hidupnya sepadan dan setaraf dengan mereka. Tetapi Maung menolak demi cintanya yang amat mendalam pada Sapiah.
Kepulangan Joni pemuda segak bergaya yang telah lama berhijrah ke KL, merubah suasana kampung itu. Dengan penampilan seperti seorang ahli perniagaan yang hebat, Joni dengan mudah berjaya memikat Sapiah.
Dia memujuk Sapiah untuk meyakinkan ayahnya Pak Jumil supaya melabur dalam skim cepat kaya dengan menjual semua kerbau yang ada.
Walaupun Pak Jumil termakan dengan pujukan Sapiah dan kata-kata Joni,dia tidak tergamak menjual semua kerbaunya, disokong pula rasa kesihan pada Maung yang telah banyak membantu menjaga kerbaunya yang telah banyak membiak itu. Namun kospirasi Joni dan Sapiah melepaskan Jongos, kerbau kesayangan Pak Jumil serta membuat fitnah akhirnya berjaya menimbulkan kemarahan Pak Jumil pada Maung.
Tanpa berfikir panjang, Pak Jumil menerima Joni sebagai menantu dan menjual semua kerbaunya untuk melabur seperti yang di anjurkan Joni.
Maung kecewa dengan semua yang berlaku. Dalam waktu yang sama dia menghadapi dua kehilangan, Sapiah dan Jongos. Kelurusan dan kebendulannya membuat dia mengambil keputusan menyerahkan dirinya untuk ‘dimakan’ penunggu hutan. Dalam kesedihannya menanti dan menjelmanya ‘penunggu hutan’, tiba-tiba yang muncul kerbau kesayangannya Jongos. Kegembiraan bertemu Jongos dikongsi bersama oleh Pak Jumil yang dengan rela hati menyerahkan kerbau kesayangannya itu pada Maung.
Berkat kegigihannya dan dengan bantuan Pak Jumil, Bu Ranik dan Jijah, Maung akhirnya menjadi penternak kerbau yang berjaya. Namun bagaimana pula kisah cintanya berakhir? Saksikan drama menarik khas Ramadhan ini pada 15 Ogos 2010 (Ahad), jam 10.05 pagi mengisi slot Panggung 1 di TV1.