Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, sudah menjalankan tugasnya sebagai duta produk Q-Tab dan melaksanakan semua kerja dengan bayaran sebanyak RM156,000.
Pengasas bersama dan Pengarah Pemasaran Maydan Trading, (Maydan), Mardina Narhamdan mengesahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili Nur Fazura pada perbicaraan hari kedua di hadapan Hakim Datuk Firuz Jaffril.
Nur Fazura Sudah Jalankan Tugas Sebagai Duta Produk
Ketika ditanya oleh Fakhrul sama ada Nur Fazura sudah melaksanakan perjanjian sebelum timbul isu pengeluaran Tru-Dolly, Mardina menjawab, “ya.”
Fakhrul: Bayaran RM156,000 yang dibuat kepada defendan kedua (Universal Music) adalah untuk perkhidmatan Fazura sehingga 22 Ogos 2018?
Mardina: Betul.
Fakhrul: Setuju saya katakan bahawa Iman Tang tidak mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan dan hanya mendapat arahan daripada Universal Music?
Mardina: Ya
Mardina yang juga anak kepada pemilik Maydan memberi keterangan dalam kes saman yang dikemukakan bapanya Norhamdan Abd Malek terhadap Nur Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 36, dan Universal Music Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Wilson Lim yang mewakili Universal Music sama ada pihaknya ada membuat pembayaran terakhir sebanyak RM50,000 kepada Nur Fazura pada 1 November 2017, Mardina menjawab: “Tidak.”
Mardina juga berkata beliau tidak menghantar sebarang pesanan kepada Iman Tang berhubung pelanggaran posting Tru-Dolly yang dimuat baik Nur Fazura ke dalam laman Instagramnya.
Pada prosiding perbicaraan itu, Maydan diwakili peguam Dzaki Ezhar Bahar dan Sunita Sankey.
Perbicaraan Bersambung 18 Mac ini
Pada 16 Disember 2017, Norhamdan menfailkan saman terhadap Nur Fazura dan Universal Music Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan writ saman, Norhamdan sebagai plaintif memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan salah satu produk yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.
Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Nur Fazura.
Perjanjian itu didakwa bagi Nur Fazura memasarkan dan/atau menyokong produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.
Selesai Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Sumber: Berita Harian