in

Fazura Nafi Kahwin

Fazura nafi kahwin

“SAYA tak kisah kahwin anak raja, presiden, peniaga nasi lemak dan jagung rebus di pasar sekalipun jika itu jodoh saya. Yang penting, calon suami saya baik, beriman dan menyayangi saya.”

FAZURA… kesal timbul cerita dia akan berkahwin dengan kerabat.

Menurut pemenang anugerah Bintang Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 (2004) menerusi filem Bicara Hati itu, dakwaan itu mengarut kerana dia tidak ada perancangan sedemikian buat masa ini.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, dia hairan dan kesal kerana timbul cerita seperti itu, sedangkan dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kepada sesiapapun.

“Bagi saya, jodoh akan datang bila tiba masanya dan jika saya merancang untuk berkahwin esok hari pun, tanpa izin Tuhan ia mungkin tertangguh setahun dua lagi.

“Saya juga tak dapat menentukan dengan siapa sebenarnya saya akan berkahwin, terserahlah kepada takdir,” kata Fazura yang mengharapkan pengertian ramai supaya perkara ini tidak diperbesarkan.

Memandangkan hubungannya dengan kerabat diraja itu terlalu sensitif untuk dibicarakan, dia memilih untuk tidak memanjangkan cerita, apa lagi menjelaskannya secara terperinci.

Bukan mahu mengelak, tapi banyak perkara perlu dititikberatkan. Lagipun dia bukan jenis suka mencanang cerita peribadi kerana yang penting dan perlu diberi perhatian perjalanan kariernya.

Bagaimanapun, dia yang sebelum ini muncul menerusi filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly bersama Maya Karin tidak menafikan rapat dengan insan dimaksudkan.

Persahabatan mereka bukan lagi rahsia, bahkan ramai yang mendakwa pernah melihat mereka keluar bersama.

“Takkanlah saya langsung tak boleh berkawan dengan sesiapa. Jika ada yang ternampak, bermakna memang betullah saya keluar dengannya. Jika terserempak dengan kami, tegurlah. Saya tak kisah.

“Soal sama ada benar kami bercinta atau sekadar bersahabat, biar kami berdua saja yang tahu jawapannya kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang ramai,” katanya bersahaja.

Menyentuh mengenai kariernya sebagai pelakon, gadis ini mengakui kurang aktif sejak akhir-akhir ini memandangkan kebanyakan tawaran diterima tidak menepati karakter yang dikehendakinya, jika ada pun sama seperti yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Malah, dia juga mengambil keputusan untuk tidak lagi menerima tawaran sebagai hos rancangan kerana berasakan dia kurang berbakat dalam bidang pengacaraan walaupun pernah muncul dalam saluran muzik MTV satu ketika dulu dan Anak Wayang di Astro Ria.

“Menjadi hos untuk Myeg Xtra Time adalah rancangan terakhir yang menampilkan saya sebagai pengacara. Saya terima cabaran itu kerana saya mengendalikan rancangan berkisar gosip sukan untuk mencabar diri sendiri.

“Saya akui ada membuat tinjauan dan sedikit kaji selidik dengan menonton saluran sukan dan membaca sumber berkaitan,” katanya yang mengendalikan rancangan itu bersama Marion Caunter dan Cheryl Samad.

Siapa sangka, berjinak-jinak dalam dunia sukan membuatkannya mula meminati sukan polo yang baru diceburinya memandangkan jarang golongan wanita menyertai sukan berkuda seperti itu.

Malah, dia berusaha mengumpul duit untuk bergiat aktif dalam sukan ini kerana sukan berkuda menuntut kos mahal.

“Sebenarnya sejak kecil lagi saya didedahkan dengan suka berkuda di Kelab Polo Diraja Pahang. Walaupun kegiatan sukan ini tidak sebesar seperti di Argentina, saya suka jika ada yang ingin mengikut jejak langkah saya.

“Sukan ini sangat menarik dan mencabar dan menyeronokkan,” katanya yang juga duta produk kecantikan Nutox dan haruman Avon.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pakej PASSION ANGGUN Di Asterspring Sangat Berbaloi!

Kisah Lagenda Bawang Merah Bawang Puteh Versi Lelaki Dalam Merah Putih