Pengacara terkenal, Fedtri Yahya, meminta semua warganet agar menitipkan doa buat penyanyi popular, Fazli Zainal, yang kini dirawat di sebuah hospital akibat dijangkiti virus Covid-19, beberapa hari lepas.
Menerusi entri Twitter, pengacara rancangan Jejak Rasul itu berkongsi satu tangkap layar perbualan dia bersama penyanyi itu.
Sehubungan itu, menerusi perbualan berkenaan, penyanyi lagu Harapan itu memaklumkan dia kini dalam keadaan yang lemah serta kurang oksigen dalam badan.
“Salam, doktor ambil darah banyak kali. Badan aku lemah dah beb. Mereka takut ada lagi virus atau keradangan dalam darah aku sebab sampai sekarang aku masih perlukan bantuan pernafasan,
“Selain itu, nak pergi ke tandas dalam bilik ini pun seksa macam nak panjat gunung kerana tak cukup oksigen.
“Sepatutnya esok lusa aku dah okey, tetapi itulah lain orang lain komplikasinya. Memang aku susah nak tanggalkan oksigen macam ini,â€
– Fazli Zainal
Menerusi ciapan yang sama, Fedtri turut berkongsi satu foto yang memaparkan penyanyi berkenaan sedang mendapatkan oksigen menerusi saluran penafasan.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet memanjatkan doa buat Fazli sekaligus memberi kata-kata semangat kepadanya untuk kembali sihat seperti sedia kala.