Selebriti dan cef popular, Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan bahawa hubungannya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain bermasalah.
Gosip itu mula timbul apabila mereka tidak lagi dilihat bersama seperti dahulu.
Menurut Fazley, Imran yang pernah bekerja dengannya selama lapan tahun kini sudah kembali ke Singapura.
“Sebelum ini dia berkhidmat sebagai pengarah kreatif di syarikat saya. Dan dia juga adalah anak angkat kepada ibu bapa saya. “Ibunya menetap sendirian di Singapura. Kebetulan Imran mendapat tawaran kerja sebagai pengarah di sebuah institusi muzik penting di sana. “Bila dia tanya saya dan isteri apa yang harus dibuat, saya beritahu padanya utamakan keluarga terlebih dahulu,”
– Datuk Fazley Yaakob
Fazley berkata, dia hanya menganggap Imran dipinjamkan seketika dan dia boleh kembali untuk bekerja dengannya sebaik urusan tersebut selesai.
“Biarpun dia tiada di sini, tetapi khidmatnya tetap diperlukan secara maya jika ada masalah yang timbul. “Jadi dakwaan yang mengatakan saya ada masalah dengan Imran adalah tidak benar. Saya jarang ada masalah dengan orang,”
– Datuk Fazley Yaakob
Ditanya bagaimana dengan syarikatnya selepas ketiadaan Imran, katanya, dia bersyukur kerana pekerjanya dilatih dengan baik oleh Imran.