Pemilik kolej tidak wajib miliki kelayakan akademik – Khaled
KUALA LUMPUR: Pemilik atau pengarah kolej tidak diwajibkan untuk memiliki kelayakan akademik, cuma tenaga pengajar sahaja yang harus memiliki kelayakan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Oleh itu, katanya tindakan hanya diambil terhadap Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) sekiranya ia didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan kementerian. “Banyak orang yang membuka kolej tidak memiliki kelayakan akademik yang tinggi kerana itu tidak diperlukan.
Apa yang perlu ialah apabila memberi kursus, terdapat tenaga pengajar yang memang layak,” katanya kepada media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran Sepanjang Hayat 2010 di sini hari ini.
Persidangan tiga hari itu dihadiri lebih 100 peserta dari 20 negara termasuk Australia, India, Kanada, Sweden, Jepun, Oman dan New Zealand. Bagaimanapun menurutnya, jika pihak Wales University menetapkan pemilik kolej yang bekerjasama dengannya perlu memiliki kelayakan akademik, itu adalah haknya sendiri. “Yang saya difahamkan, University of Wales ini berasaskan kepada pemilik, bukannya dia tengok yang lain-lain,” katanya yang enggan memberi reaksi berlebihan.
Namun begitu, menurutnya, siasatan masih lagi dijalankan, dan tindakan akan diambil sekiranya FIC melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian dari segi pembelajarannya dan syarat-syarat lain yang untuk menjalankan sesebuah kolej.
Menurut satu artikel laman web Perbadanan Penyiaran British (BBC) bertarikh 9 November, Fazley meletakkan jawatannya sebagai pengarah bagi menjaga nama baik kolej itu yang digantung hubungannya dengan Wales University buat sementara waktu.
Pergantungan itu dilakukan berikutan universiti itu mendakwa Fazley memiliki Ph.D palsu dari European Business School, sebuah cawangan Universiti Antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada tahun 2008.
Berikutan pergantungan itu, universiti itu yang menandatangani perjanjian dengan FIC pada tahun 2007 tidak mengiktiraf sebarang kemasukan tambahan untuk kursus Sarjana Muda dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan hingga kelayakan pengetua kolej itu disiasat. –Bernama
Ekoran satu laporan yang dibuat oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang mendakwa Fazley Yaakob memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran palsu dalam bidang pengurusan perniagaan, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Asmara’ ini telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di Fazley International College (FICO).
Kontroversi terbaru ini timbul apabila University of Wales di United Kingdom (UK) menggantung hubungannya dengan FICO, milik Fazley sehingga satu siasatan dilakukan. Dalam program Week in Week Out : University Challenged itu, kredibiliti penyanyi ini dipersoalkan kerana kelayakannya itu dipercayai diperolehi dari universiti palsu.
University of Wales yang menandatangani perjanjian dengan FICO pada tahun 2007 itu tidak akan mengiktiraf sebarang kemasukan tambahan untuk Kursus Sarjana Muda dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari FICO sehingga kelayakan Fazley disiasat sepenuhnya.
Bertindak atas laporan tersebut, Fazley dalam laman twitternya mengakui yang dia telah meletak jawatan dari FICO kerana merasakan itu jalan terbaik demi menjaga reputasi kolej itu.
“Saya memohon maaf kerana mencemar nama baik universiti tersebut.” ujar Fazley.
Sementara itu, Fazley juga berjanji akan memberikan penjelasan setelah mendapat kebenaran daripada Lembaga Pengarah FICO.
“Saya akan memberikan kenyataan tidak lama lagi setelah mendapat kebenaran dari peguam saya. Terlalu banyak salah anggap yang harus saya perbetulkan dan ada sebab mengapa saya berdiam selama lebih 2 tahun.” tambah Fazley di laman Twitter miliknya.
Fazley dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo menjelaskan yang dia sudah tidak menggunakan gelaran Doktor selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan European Business School.
Jelas Fazley, dia sudah lama meragui institut berkenaan kerana berdasarkan maklumat yang diterima, institut itu tidak diiktiraf. via Portal GUA