in ,

Pemuzik Jalanan Wakili Ella Di Pentas Akhir Seiras Seirama

Sebut saja nama Ella, pasti terbayang akan lentuk tubuhnya tatkala berbicara, tutur kata yang lembut dan manja, suara yang serak-serak basah serta imej rock yang sudah sebati dengan jiwa beliau. Keunikan inilah yang membuatkan ramai beranggapan bahawa mana mungkin ada klon Ella dalam lapangan muzik tanah air ini.

Namun, tanggapan itu mungkin tersasar kerana pada Ahad yang lalu, Seiras Seirama telah mengetengahkan seorang pemuzik jalanan yang berjaya membuat persembahan persis Ella dan secara tidak langsung menepis persepsi sebelum ini.

Untitled

Fazilah ketepikan tiga peserta lain untuk muncul juara Seiras Seirama Episod Ikon Ella

[dropcap]A[/dropcap]nak kelahiran Sabah, Fazilah binti Asmar (26) menjadi pilihan ratu rock Malaysia, Ella untuk mewakili beliau di pentas akhir Seiras Seirama kelak. Membawakan lagu yang diterbitkan pada tahun 1994, Gemilang, Fazilah nyata menggunakan segala kelebihan dan pengalaman beliau sebagai seorang pemuzik jalanan untuk menjadi lebih menonjol berbanding peserta yang lain seterusnya mencuri perhatian penyanyi kesayangan ramai itu.

Menariknya, kemenangan ini sekaligus menunaikan impian beliau yang telah sekian lama terpendam untuk berduet bersama Ella. Siapa sangka, penglibatan anak muda ini secara sepenuh masa sebagai seorang pemuzik jalanan di kota raya didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap Ella sedari berusia empat tahun lagi ternyata tidak sia-sia. Apatah lagi, minatnya ini mendapat sokongan padu daripada bapanya yang turut mengiringi setiap persembahan beliau.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata,

“Para peserta bagi episod Ikon Ella merupakan antara barisan peserta yang terbaik dalam program ini. Mereka bukan sahaja memiliki suara dan gaya persis Ella, malah personaliti mereka juga turut serupa. Saya percaya, hal ini menyukarkan lagi Ella untuk memilih peserta yang benar-benar layak untuk mewakili beliau di episod akhir Seiras Seirama ini kelak.

Memasuki minggu ketiga bersiaran, Seiras Seirama terus mendapat sambutan hangat daripada penonton. Episod-episod mendatang bakal menampilkan empat lagi ikon tanah air dan pastinya ia menjanjikan sesuatu yang lebih hebat bagi hiburan tontonan seisi rumah pada malam minggu.”

Fazilah diberi tentangan hebat oleh Norminah binti Sailun, 29 dari Sabah dalam segmen Caras Mencaras dimana mereka berentap menerusi dua buah lagu daripada album Puteri Rock iaitu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Pengemis Cinta sebelum nasib lebih memihak kepada Fazilah.

Turut bersama mereka adalah dua lagi peserta iaitu Emawati binti Ali, 31 dari Indonesia dan Shida binti Saroni, 31 dari Selangor.

Sebagai tanda penghargaan buat penonton yang hadir memberi sokongan, Ella mendendangkan sebuah lagu duet bersama adiknya, Korie berjudul Pergilah Sayang. Selain itu, episod Ikon Ella ini turut diceriakan dengan kehadiran Jihan Muse yang turut merupakan seorang peminat setia Ella. Teletahnya bersama pengacara program, Datuk Aznil Haji Nawawi meniru gaya nyanyian Ella mengundang gelak tawa daripada penonton.

Di awal program, pemenang bagi episod sebelumnya iaitu episod Ikon Hafiz akhirnya diumumkan di mana Ahmad Shukri bin Zakaria dipilih sebagai juara episod tersebut. Kini, tiga orang peserta bagi peringkat akhir Seiras Seirama sudah kita ketahui.

Siapa pula peserta seterusnya yang bakal mengikuti jejak langkah mereka? Jangan lupa saksikan episod keempat Seiras Seirama yang bakal menemui penonton pada hari Ahad (10 Januari 2016), jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Jangan ketinggalan!

Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Terbaik SHE WAS PRETTY Ditayangkan di Saluran Oh!K

Rosyam Nor Berlakon Dalam FIlem Kabali Bersama Rajinikanth