Viu, peneraju perkhidmatan penstriman video OTT pan-serantau PCCW, bakal menayangkan siri drama serba baru Malaysia berjudul GANJIL. Sebuah kisah percintaan yang romantik, penuh fantasi. GANJIL menggabungkan dua genre untuk satu karya dalam membentuk alam yang menakjubkan.
Karya drama dilihat cukup unik dan berbeza dengan karya tempatan lain. Ini kerana Ganjil memaparkan jalan cerita yang boleh dikatakan keluar dari kotak minda kebiasaan pengkarya drama tempatan. Nak tahu apa yang unik dan berbezanya, anda perlu menontonnya!
Sinopsis GANJIL
Siri ini berkisar seorang lelaki dan wanita muda yang mendapati diri mereka bertemu insan yang mereka impikan. Amry dilakonkan oleh Fattah Amin – pemenang Anugerah Pelakon TV Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 pada 2018, yang diiktiraf sebagai selebriti popular dan penghibur Malaysia di dalam industri hiburan.
Sementara itu, Nabila dibawa oleh Diana Danielle – pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 pada 2017, sebuah anugerah rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Pasangan ini bertembung di dalam mimpi mereka, pada satu malam istimewa di mana mimpi mereka bercantum menjadi satu. Ketika mereka mendapati masing-masing mungkin hanya satu watak di dalam alam mimpi, tanpa mereka sedari, kedua-duanya menjadi lebih erat, berkongsi rahsia dan berdepan dengan ketakutan bersama.
Mimpi mereka adalah cara alam memberikan mereka peluang kedua, untuk menjadi insan yang lebih baik. GANJIL juga memaparkan kesulitan yang dirasai ramai untuk mencari tempat di dunia sebenar, sambil cuba mengimbangi tanggungjawab seseorang terhadap keluarga.
Diterbitkan oleh Razor’s Edge Pictures dan diarah oleh Datuk Yusry Abdul Halim, karyawan yang penuh wawasan dan terkenal dalam penggunaan kesan visualnya. GANJIL adalah kisah cinta yang mengangkat genre percintaan dan digabung dengan elemen fantasi, menghasilkan sebuah kisah dengan imej yang indah.
Siri ini berlatarkan dunia sebenar dengan alam mimpi di bawah sedar Amry dan Nabila. Siri 10 episod semusim ini kemuncaknya memberikan penonton pandangan mendalam ke dalam jiwa dan keresahan mereka, menerusi alam mimpi yang mereka lalui. Siri ini turut menampilkan barisan pelakon sokongan yang kuat, iaitu Izzue Islam dan bekas pelakon kanak-kanak, Fatin Afeefa, yang masing-masingnya memainkan peranan utama di dalam kehidupan Nabila dan Amry.
Menurut pengarah drama iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, tempoh penggambaran yang lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan menjadi antara cabaran untuk menyiapkan siri Viu Original ini.
Biarpun agak sukar untuk menjadikan drama itu seperti sebuah filem, namun Yusry percaya jalan cerita yang memaparkan tentang realiti dan mimpi menjadi kekuatan karya tersebut.
“Selain penggambaran mengambil masa yang agak lama disebabkan PKP, antara cabaran untuk drama ini adalah nak jadikan 10 episod itu macam filem.
“Drama ini menampilkan konsep mimpi dan realiti. Viu dah pernah tanya saya macam mana nak buat supaya penonton dapat bezakan realiti dengan mimpi.
“Jadi sebab itu visual sangat main peranan dalam drama ini. Dengan drama ini, saya harap dapat memberi kelainan dan menambah pelbagai genre dalam industri.
“Genre untuk drama ini agak susah nak buat sebab kita banyak disajikan dengan drama kebiasaan. Jadi, saya harap penonton terima dan hargai,”
– Datuk Yusry Abdul Halim
Yusry juga memuji lakonan Diana Danielle dan Izzue Islam yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap karakter mereka. Semasa ditemubual, Yusry juga melahirkan rasa kagum dengan sikap profesional pelakon Fattah Amin walaupun tidak pernah bekerjasama dengan Fattah sebelum ini.
“Saya pernah bekerjasama dengan DD (Diana Danielle) dan saya tahu cara kerja dia macam mana. Manakala Izzue pula memang dah banyak kali kami bekerjasama.
“Saya suka dengan gaya selamba Izzue dan dia pun sentiasa membawa setiap karakter dengan baik. Untuk Fattah pula, saya tak pernah lagi kerja dengan dia.
“Tapi agak terkejut sebab dia seorang yang sangat profesional dan dia tahu karakter dia. Saya pasti penonton akan dapat lihat sisi lain setiap pelakon,”
– Datuk Yusry Abdul Halim
Yusry berkata, peluang yang diberikan pihak Viu untuk mengarahkan drama ini memberi pengalaman berbeza kerana mereka mahukan satu idea yang asli.
“Mereka mahukan pengarah dan pelakon yang pernah bekerja untuk filem dan hasilkan drama bersiri ini. Jadi, umpamanya kami cuba memanjangkan satu filem dan terjemahkan dalam beberapa episod,”
– Datuk Yusry Abdul Halim
Berkongsi mengenai Cabaran yang dilalui sepanjang pembikinan karya ini, Yusry berkata, cabaran terbesar adalah dari sudut teknikal.
“Untuk filem, kami gunakan resolusi 2K manakala untuk Viu, ia ditayangkan di platform digital dan memerlukan resolusi sehingga 4K. Jadi, banyak perkara dari sudut teknikal perlu dititikberatkan,”
– Datuk Yusry Abdul Halim
Diana Danielle pula menggalas watak sebagai Nabila berkata, dia tidak menafikan cabaran paling besar untuknya sebagai pelakon adalah untuk menggunakan imaginasi dan diserasikan dengan imej janaan komputer (CGI).
“Ini bukan kali pertama saya berlakon dalam karya yang menggunakan banyak teknik CGI. Dalam filem Magika sebelum ini, ia pun banyak menggunakan teknik itu.
“Cuma apabila berlakon dalam karya yang menggunakan CGI, kami sebagai pelakon perlu menggunakan imaginasi untuk membayangkan sesuatu yang tak ada di depan mata.
“Apa pun, pengarah banyak membantu kerana dia tahu apa yang diinginkan dalam visual yang bermain dalam fikirannya,”
– Diana Danielle
Fattah Amin yang membawa watak Amry berkata, dia jatuh cinta dengan jalan cerita drama bersiri ini.
“Pertama kali saya membaca skrip drama ini, saya terus tertarik kerana ia luar daripada kebiasaan. Sebelum melangkah ke set penggambaran pun, perasaan teruja itu sudah ada.
“Saya sudah mula membayangkan dan berimaginasi sebagai persediaan sebelum melangkah masuk dalam set. Lagipun, ia juga adalah karya arahan Datuk Yusry dan memang saya ingin bekerjasama dengannya,”
– Fattah Amin
Sementara itu, Izzue berkata, berlakon dalam drama ini juga peluang keemasan buatnya.
“Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Ihsan, sahabat rapat kepada Nabila. Ini bukan kali pertama saya bergandingan dengan Diana, tetapi kali pertama dengan Fattah. Bagi saya, jalan cerita Ganjil ini memang lain daripada naskhah lain yang sedia ada. Satu kerugian sekiranya pelakon yang ditawarkan, menolak tawaran berlakon dalam karya ini,”
– Izzue Islam
Menurut Encik Kingsley Warner, Pengurus Negara bagi Viu Malaysia, berkata “GANJIL adalah siri Viu Original kami yang ketiga diterbitkan tahun ini, menyusul penerbitan Black Musim 2 dan Keluarga Baha Don Musim 3. Karya hebat GANJIL memaparkan desikasi Viu terhadap kandungan terbitan tempatan yang berkualiti tinggi. Oleh itu kami yakin bahawa GANJIL memenuhi standard sebuah drama premium yang sinonim dengan Viu.’’
Penyedia perkhidmatan komunikasi Maxis bekerjasama dengan Viu membawakan GANJIL lima hari lebih awal untuk penonton Maxis TV. Tayangan awal eksklusif drama fantasi ini akan diadakan pada 25 September, dengan lima episod pertama disiarkan lebih awal untuk pengguna Maxis TV, dengan dua episod ditayangkan seminggu. Episod berikutnya akan ditayangkan pada tarikh sama penyiaran di Viu.
Encik Rabiras Rajakrishnan, Ketua Segmen, Konsumer Hotlink, Maxis, berkata “Kami teruja untuk terus memberi ganjaran kepada pelanggan dengan kandungan eksklusif pada Maxis TV dengan Viu. Maxis TV membawakan pengalaman peribadi yang tiada tandingan, dengan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dari segi kandungan yang pelanggan mahukan, dengan cara yang mereka tersendiri. Sebagai pemain digital sepenuhnya, rakyat Malaysia boleh menikmati semua sambungan terkumpul, kandungan dan keperluan perkhidmatan di platform tersebut.’’
GANJIL akan mula ditayangkan pada 30 September, dengan dua episod ditayangkan setiap Khamis sehingga 28 Oktober. Penonton boleh menyaksikan siri ini menerusi aplikasi Viu. Hanya muat turun secara percuma melalui App Store, Google Play, dan TV pintar terpilih, atau laman web di www.viu.com.