Menurut Fathia, 33, dia tidak serik dan menolak sekiranya dipertemukan jodoh dengan orang dalam industri. Namun dirinya meletakkan sasaran untuk serius memikirkan soal berumah tangga apabila usianya sudah mencecah 35 tahun.
“Saya tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh dengan orang dalam industri. Saya beri masa dalam umur 35 tahun untuk menamatkan zaman solo, bukan dalam masa terdekat ini sebab saya hanya nak beri fokus kepada kerjaya seni.
“Kalau ikutkan saya lebih tertarik dengan jejaka berbangsa Cina disebabkan cara pemikiran mereka, cara mereka menghormati kaum wanita selain mereka juga sangat comel,”
– Fatiya Latiff
Fatiya ditemui pada majlis pelancaran single nyanyiannya, Jika Aku Tahu yang berlangsung di Metropolitan Square, Damansara Perdana, semalam.
Terpalit dengan beberapa siri kontroversi terdahulu, Fathia mengharapkan tahun 2020 dapat memberikan sinar baharu buat dirinya.
Enggan menoleh ke belakang, Fathia berkata dia masih dalam proses belajar mengawal diri daripada mengulangi kesilapan sama.
“Tahun ini saya mahu mengasingkan karier seni dan kehidupan peribadi saya. Saya masih lagi belajar untuk kawal diri. Apa yang saya boleh katakan, saya hanya nak jadi diri sendiri. Saya tahu, rakyat Malaysia sayangkan saya sebab itu saya cuba untuk berubah,”
– Fatiya Latiff
Fatiya Latiff nampaknya begitu selesa digelar Miley Cyrus Malaysia kerana imejnya yang berambut pendek dan gaya hidupnya itu hampir sama dengan penyanyi antarabangsa itu. Fatiya Latiff menjelaskan dia sangat mengagumi Mily Cyrus.
Menurut Fatiya, dia sekarang mahu menjadi dirinya sendiri. Fatiya mengakui kontroversi yang lalu banyak memberi pengajaran buatnya, Fathia yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul JIKA AKU TAHU berkata ‘kehilangan’ nya buat seketika sebelum ini adalah peluang untuk mengenal dirinya semula selain turut belajar mengenai selok belok nyanyian yang sudah lama diidam-idamkannya.
Bercakap mengenai single terbaharunya itu, Fathia berkata ia merupakan lirik sentuhan daripada dirinya sendiri dan kawan baiknya, Sharifah Faizah Al-Attas.
“Lagu ini sebenarnya saya dedikasikan kepada arwah datuk saya. Ia menceritakan bila kita dah kehilangan orang yang kita sayang, baru kita jadi lebih menghargai mereka.
“Jika Aku Tahu meluas konsepnya, ia boleh jadi untuk pasangan kekasih, suami isteri dan ahli keluarga serta rakan-rakan. Secara keseluruhannya, ia menceritakan kisah cinta kita kepada orang yang kita sayang,”
– Fatiya Latiff
Sumber: KopiPlanet.com