Semalam, sempena dengan sambutan Hari Bapa, kumpulan otai Sweet Charity telah mengadakan konsert mereka di tingkat 4, Dewan Merdeka, PWTC Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.
Dipersembahkan oleh Rasamusic Sdn Bhd, konsert ini dirancang khas untuk mengutip bantuan untuk Yayasan Institut Jantung Negara selepas Konsert Zaman yang diadakan di Istana Budaya pada 8 dan 9 Julai 2005.
Budiey kira, semalam nampak ramai sekali para bapa yang pada seketika dulu pernah meminati kumpulan Sweet Charity dan lagu-lagu dari band yang diketuai oleh Ramli Sarip ini menjadi siulan mereka hingga kini hadir memeriahkan konsert.
Apatah lagi, kalau dilihat dari suasana dewan yang penuh ini dengan semangat dari penonton yang berkobar-kobar seakan tidak sabar untuk enjoy menikmati lagu dari kumpulan yang ditubuhkan pada 1969 di Singapura ini.
Seawal jam 8.30 malam, Bob Lokman sebagai pengacara pada malam itu berceloteh dengan cerita-cerita yang berkisar tentang peranan dan jasa bapa. Sekali dengar macam ceramah agama pun ada. Yang penting, nasihat dan mesej dari Bob itu memang sangat perlu untuk anak-anak muda sekarang ini yang kian hanyut dibawa arus dunia.
Setelah selesai berceloteh, Bob menjemput semua hadirin untuk menikmati jamuan yang dihidangkan oleh PWTC. Antara sajian yang menjadi santapan kami ialah kari ayam dengan kentang, acar ikan (Wow! Memang menjadi kegemaran Budi nih! Sedap sekali), rendang daging, udang goreng mentega dengan daun kari, sayur campur dan nasi tomato. Dihidang juga Chilled honey dew dengan sago dan fancy dumpling sebagai pembasuh mulut juga kuih muih dan air teh dan kopi sebagai penghapus dahaga.
Antara lagu yang dibawakan oleh Sweet Charity ialah Hilang Gelap Terbitlah Terang, Apa Khabar Sayang, Dekatlah Pada Ku, Pelarian, Dunia Perlumbaan, Sejuta Wajah, Batu, Ribut 10.59 pagi, Perjalanan, Bagaikan Bermimpi, Terharu, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama, Teratai, Di Tahun 2000, Musibah dan Kamelia.
Bagi Budiey, konsert yang begitu gempak dengan vokal Ramli Sarip yang serak-serak basah itu tentunya menjadi malam penuh nostalgia buat semua peminat dan pasti akan diingati. Apa tidaknya, ianya menyaksikan penyatuan semula kumpulan rock Sweet Charity yang bertujuan untuk menghargai generasi daddy-daddy kita yang turut memainkan peranan mencipta ikon rock ini pada era 80 an dulu.
Untuk peminat Sweet Charity, bolehlah melayari website mereka di:
http://www.sweetcharity.com.my