Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini, tetapi berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadap Farid Kamil sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.
Nor Ariffin menjatuhkan hukuman terhadap pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.
“Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman terbabit berjalan serentak,” katanya.
– Nor Ariffin
Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid Kamil menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.
Aktor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terbabit terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.
Ketika rayuan, Farid Kamil yang diwakili peguam, Kee Wei Lon memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau denda minimum atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga yang menyara isteri, dua anak serta ibu bapanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam dalam kes sedemikian.
“Saya juga memohon mahkamah mengambil kira perasaan malu yang ditanggung pengadu (Muhammad Nizam) dalam kes ini,” katanya.
– Nor Ariffin
Perbicaraan kes itu yang bermula pada 27 November 2018, menyaksikan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Farid Kamil, memberi keterangan.
Sumber: BERNAMA