Datuk Farid Kamil Zahari didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, Khamis lalu
Farid Kamil yang juga pengarah dan pelakon, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Majistret Mahkamah, Nor Ariffin Hisham di kompleks mahkamah di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua menyatakan bahawa Farid Kamil, 37, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd. Nizam dengan niat menghalang tugas polis. Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Farid Kamil turut didakwa atas pertuduhan keempat iaitu berkelakuan tidak senonoh.
Dia dituduh mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Mohd. Nizam, yang boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan terhadap mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau maksimum penjara enam bulan atau kedua-duanya.
Semua kesalahan itu dilakukan di kaunter pertanyaan Balai Polis Kota Damansara, di sini, pada pukul 1.20 pagi, 11 Januari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faiq menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Athari Bahardin yang bertindak sebagai peguam Farid Kamil memohon supaya anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah atas alasan menanggung seorang isteri, dua anak dan kedua ibu bapanya di kampung.
Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan Farid Kamil diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan.
Isteri Farid Kamil, Datin Diana Danielle, dilihat turut hadir ke mahkamah pada pukul 9.20 pagi bersama adik Farid, Fadzil Bahari Zahari, yang juga bertindak sebagai penjamin.