Pasangan pelakon Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle mengambil keputusan akan membawa diri ‘berhijrah’ ke Gold Coast, Australia pada bulan September ini.
Menurut Farid, pada awalnya dia dan isteri memilih Amerika Syarikat namun melihatkan kehidupan yang lebih tenang di bumi Kanggaru, mereka sepakat memilih Australia untuk membawa anak-anak, Mohamad, 6, dan Aurora, 4, merantau ke negara orang.
“Sebenarnya bukan berhijrah terus sebaliknya kami sekeluarga ke sana adalah untuk tempoh tiga bulan sahaja bagi menemani Diana yang akan menyambung pengajiannya di sana.
“Selain itu, dalam tempoh itu juga saya mungkin akan ambil kursus jangka pendek untuk pengajian penerbitan,”
– Farid Kamil
Farid ditemui pada majlis pelancaran kelab motosikal Spark Malaysian Club yang berlangsung di Cheras, semalam.
Bercakap mengenai kemungkinan kes mahkamah melibatkan dirinya yang masih belum selesai, Farid berkata dia tetap mengizinkan isteri dan anak-anak pergi ke Australia tanpa dirinya.
“Saya sekarang dalam proses untuk mempercepatkan perbicaraan sebelum bulan September.
“Sekiranya kes mahkamah masih belum selesai, tidak mengapa saya bagi isteri dan anak-anak pergi dulu,”
– Farid Kamil
Farid, 38, dibicarakan atas dakwaan menampar anggota polis trafik dan orang awam, selain kes penyalahgunaan dadah.
Kesnya akan disebut semula pada 27 Februari ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Sumber: Portal Kopiplanet