Dinobatkan pemenang pertama pada Anugerah Media Terbaik LKIM Sempena Majlis Penghargaan Media LKIM 2014 antara momen indah terlakar dalam diri pemilik nama Farhana Ahmad. Mengungguli kategori Media Elektronik, tuah ternyata memihak kepada dokumentari bertajuk “Agrojurnal – Senyum Sang Nelayan” terbitannya dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta sijil.
Hampir sedekad mengutip pengalaman menerbitankan program, penerbit rancangan di Unit Majalah & Dokumentari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini tidak pernah menyangka akan memenangi kategori dipertandingkan kerana banyak ujian dan cabaran yang terpaksa dihadapinya sepanjang menghasilkan dokumentari ini. Namun semuanya dianggap sebagai rezeki.
Berkongsi pengalaman sepanjang menjalani penggambaran dokumentari tersebut, dia mengakui situasi yang terpaksa dihadapinya agak sukar.
“Berada di lokasi penggambaran di sekitar Kuala Kedah dan Gunung Jerai, Kedah ia merupakan pengalaman baru bila dapat peluang menyelami kehidupan nelayan-nelayan bot kecil. Bagaimana mereka bersusah payah mencari rezeki dengan turun ke laut”, katanya ketika ditemubual baru-baru ini.
Namun bagi Farhana cabaran paling besar bagi mengatasi loya dan muntah-muntah yang merupakah alahan biasa bagi wanita mengandung kerana ketika penggambaran di jalankan, dia masih di peringkat awal mengandungkan anak sulungnya. Apatahlagi tugasan tersebut memerlukan dia berada di jeti nelayan dan berdepan bau ikan.
Anak jati kelahiran Perak berusia 32 tahun ini berharap kemenangannya ini akan memberi semangat dan boleh dijadikan sumber inspirasi untuk penerbit-penerbit RTM yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan berkualiti.
Tambahnya lagi, bukan hanya untuk kepuasan diri sendiri tetapi untuk memastikan penonton mendapat ilmu dan maklumat yang bermanfaat.
Antara program yang pernah dikendalikan pemilik Diploma Penyiaran ini termasuklah Panorama, KMJ, Agrojurnal, Orang Kita dan Agrotek.
Rancangan bertajuk “Agrojurnal – Senyum Sang Nelayan” mengisahkan situasi dahulu para nelayan di Malaysia terutamanya nelayan-nelayan bot kecil terpaksa bergantung kepada peraih atau orang tengah untuk memasarkan hasil tangkapan laut mereka. Nelayan terpaksa akur dengan harga yang ditetapkan oleh peraih tersebut yang mana amat tidak berbaloi. Kini, apabila LKIM mewujudkan pasar nelayan di jeti-jeti nelayan seluruh negara, mereka mampu tersenyum lebar. Nelayan boleh memasarkan hasil tangkapan laut secara terus kepada pengguna.
Pada majlis tersebut, penerbit Unit Hal Ehwal Semasa RTM, Mahani Shafie merangkul tempat ketiga menerusi rancangan terbitannya bertajuk, SP1M – Jelajah Bersama Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani di Pulau Langkawi.