Semasa di Party EH! 20 Yang Anggun lalu, Budiey sempat borak-borak dengan penyanyi Farawahida. Hadir lengkap dengan dress hitam dan merah yang direka oleh Hasfitri Yusof. Nampak elegan. Sesuai dengan jiwa dan citarasa Farawahida.
Katanya, sekarang ni, beliau sibuk untuk melahirkan single terbaru berjudul Jangan Kau Tanya Aku Lagi. Bunyi semacam je tajuk ni. Ya, kata Fara, memang lagu ini menceritakan segala isi hatinya yang kini dah letih nak menjawab tentang isu-isu serta segala kisah kontroversi yang pernah dialaminya. Kelahiran lagu yang dicipta sepenuhnya oleh 6ixth Sense ini akan menjawab segala persoalan.
Dulu, memang Fara tak berapa suka dengan cerita-cerita yang tak elok disiarkan di internet termasuklah di blog. Setiap kali ada berita baru tentangnya, pasti penulis akan mengungkit segala kisah lalu. Lagu balada yang akan diputarkan di corong radio tak lama lagi, pasti akan menjadikan orang faham dengan kehendak isi hati Fara. Antara bait liriknya… “Jangan kau tanya aku lagi… noktahkanlah semuanya…”
Bukan senang nak tutup mulut orang, selagi ada kudrat dan mulut untuk berkata-kata, orang tetap akan soseh soseh bergosip. Jadi, Fara dah penat nak menjawab. Biarlah segala perkara dan sejarah silam jadi teladan. Tak perlu nak ungkit-ungkit lagi.