in , ,

Farahdhiya Mengharap Magis TEGAR

Lagu Bertakhta Di Hati boleh dikatakan lagu ‘berhantu’ sekali gus membawa nama penyanyi jelita, Farahdhiya ke puncak populariti.

Kehadiran Farah, 36, atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin adalah pakej yang mana bukan saja memiliki personaliti menarik tapi juga lantunan vokal yang bagus. Selepas sekian lama tidak muncul dengan single terbaharu, Farah yang turut mencipta nama sebagai pelakon menerusi drama Spa Q kembali mempertaruhkan nasib untuk single terbaharu, Tegar.

Lebih mengujakan Farah apabila lagu itu mendapat sentuhan emas duo komposer yang kian meningkat naik iaitu Farouk Roman dan Amylea Azizan.

Farahdhiya

Malah, bagi Farah dia sudah lama menunggu lagu bergenre balada yang bagus sekali gus menepati cita rasa peminat muzik tanah air masa kini.

“Ini lagu bergenre balada. Seronok dapat rakam lagu balada untuk single terbaharu sebab peminat sentiasa bertanya bila saya nak rakam lagu balada. Alhamdulillah, dapat lagu bagus dan ‘best’. Diakui, saya teruja dan berharap untuk yang terbaik.

“Lagi pula, peminat sudah lama tunggu lagu balada daripada saya sebab mereka ingat saya daripada lagu Bertakhta Di Hati. Jadi, mereka mahu lagu balada yang bagus daripada saya. Harapnya, lagu ini boleh berjaya.

“Rezeki saya juga apabila dapat bekerjasama dengan Farouk dan Amylea yang mana kita tahu mereka memang tengah ‘in’. Saya sangat gembira dan bangga dapat bekerja dengan mereka,”

– Farahdhiya
Farahdhiya

Berkongsi lanjut, Farah yang juga naib juara program Gegar Vaganza musim ketiga berkata, kali pertama bekerjasama dengan Farouk dan Amylea memberikan pengalaman menarik.

“Lagu ini dirakam beberapa minggu lalu. Dua hari selepas dapat lagu, saya terus rakam. Masa untuk belajar lagu tak lama, tapi saya cuba urus dalam tempoh itu untuk belajar macam mana nak stail dan warnakan lagu itu mengikut lenggok saya sendiri.

“Di studio pun tak lama. Alhamdulillah, setiap kali masuk studio kerja saya dipermudahkan. Alhamdulillah, seronok kerja dengan mereka, mudah dan tak banyak masalah. Jadi, ia pengalaman baru bekerja dengan mereka walaupun mereka muda tapi sangat berbakat.

“Apa boleh dikatakan, lagu yang saya dapat daripada Amylea dan Farouk ini, masa pertama kali dengar pun saya sudah suka sangat. Jadi, saya tahu dan yakin peminat akan suka lagu ini. Saya berharap dapat sokongan daripada semua pihak,”

– Farahdhiya
Farahdhiya

Kembali mempertaruhkan genre balada, Farah mengakui lagu sebegitu sudah menjadi ‘makanannya’ dan tidak sukar disampaikan.

“Sejujurnya, genre balada adalah jiwa saya. Bagi saya, genre ini yang terbaik buat saya. Menerusi genre ini, kita dapat berkarya dari segi nyanyian. Jadi, dari segi vokal kita boleh tunjuk kemampuan.

“Sebenarnya sudah lama tunggu untuk rakam lagu balada yang sedap dan bagus. Kalau boleh tak nak main rakam saja. Kalau sebagai pelakon kita perlu menjiwai watak dalam drama, sama juga macam menyanyi.

“Apabila nak masuk studio kena faham lagu, lirik dan sampaikan. Kita kena letakkan diri dalam lagu itu dan barulah ia mudah dinyanyikan. Dalam masa sama, emosi pun sampai,”

– Farahdhiya

Menariknya, Tegar juga dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Dendam Cinta Arissa yang mula ditayangkan sejak 9 Mac lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot DramaVaganza di saluran Astro Ria.

Pelakon drama itu terdiri daripada Hisyam Hamid, Atikah Suhaime, Fezrul Khan, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz dan ramai lagi.

Lirik video rasmi lagu dilancarakan secara rasmi bermula 13 Mac 2020 di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Serentak dengan itu, lagu terbitan Seventeen Eleven Music ini juga boleh distrim dan dilanggan di semua platform digital muzik.

Farahdhiya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Heidi Klum Mengadu Demam Mahu Jalani Ujian Koronavirus

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia Ditunda