Penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana teruja dengan pelantikan sebagai ikon pembaca ikrar perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Fara melahirkan rasa terharu dan terujanya apabila dimaklumkan oleh pihak yang berwajib atas pemilihan tersebut.
“Adalah menjadi impian rakyat Malaysia untuk mengetuai sesi pembacaan ikrar Hari Kebangsaan. Perasaan saya gementar namun cukup teruja kerana diberikan tanggungjawab besar ini. Secara jujurnya, dahulu saya cukup suka untuk membaca ikrar di perhimpunan sekolah dan apabila diberikan kepercayaan ini, seumpama bulan jatuh ke riba.”
Selain dari Fara Fauzana, dua lagi ikon hebat yang cemerlang dalam bidang masing-masing asal daripada Sabah dan Sarawak juga terpilih untuk menjaya sesi pembacaan ikrar tersebut.
Bacaan ikrar tersebut akan dapat didengari secara langsung melalui frekuensi Hot FM seluruh Negara pada 31 Ogos 2015 nanti. Juga untuk segala perkembangan terkini, pendengar boleh melayari laman media sosial rasmi Hot FM.
Facebook/Twitter/Instagram : @hotfm976