in

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Pasal GO SHOP Astro

Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), sebuah syarikat kumpulan hiburan media pengguna bersepadu terkemuka di Asia Tenggara, dan GS Home Shopping Inc., sebuah syarikat runcit multimedia terkemuka Korea dengan berbesar hati mengumumkan pelancaran GO SHOP iaitu sebuah perkhidmatan membeli-belah 24 jam terbaharu di Astro TV (Saluran 118), Astro On The Go dan platform atas talian serta mudah alih GO SHOP.

GO SHOP merupakan penglibatan pertama Astro dalam domain e-dagang yang membolehkan rakyat Malaysia membeli-belah pada bila-bila masa dan di mana jua menerusi platform pilihan mereka sama ada telefon mudah alih, tablet ataupun komputer peribadi.

Usaha sama Home Shopping akan menjana RM500 juta hasil tahunan menjelang 2019. Memanfaatkan kepakaran dan infrastruktur teras Astro: akses kepada 4.3 juta buah kediaman dan jangkauan runcit 17 juta pengguna. Kejayaan prapelancaran sangat memberangsangkan, dengan tempahan lebih 115,000 produk sehingga kini.

“Rakyat Malaysia kini semakin pantas berhubung, bijak dan mudah mendapatkan maklumat serta menginginkan yang terbaik. Oleh itu, Go Shop menandakan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik buat para pelanggan dengan membawa lebih banyak pilihan, kemudahan dan pengalaman buat seluruh rakyat Malaysia,” kata Dato’ Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro. “Ia juga membantu kami mempelbagaikan rangkaian perniagaan dan menembusi industri global yang sedang berkembang, yang dianggarkan bernilai RM3.6 bilion di Malaysia menjelang tahun 2020 dengan arah aliran kaedah membeli-belah dalam talian yang semakin mendapat tempat.”

Jumlah permodalan syarikat usaha sama ini ialah sebanyak RM70 juta dan dijangka menjana hasil tahunan sehingga RM500 juta dalam masa lima tahun.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan salah satu syarikat peneraju perniagaan beli-belah dari rumah di Asia yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti selama lebih 20 tahun,” tambah Dato Rohana lagi. “Dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur terkini yang dimiliki Astro seperti kemudahan penyiaran, pusat panggilan, platform saluran dan studio rakaman serta ditambah pula dengan kepakaran tepat dan terbaik khusus untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dalam menjadikan usaha ini satu kejayaan”.

GO SHOP akan menjadi pemangkin pertumbuhan yang kukuh untuk Astro dari segi pertumbuhan pendapatan masa depan, dengan menyasarkan pasaran sedia ada sebanyak 4.3 juta buah kediaman dan 17 juta pengguna. Arah aliran pertumbuhan global e-dagang pada hari ini membuktikan bahawa inisiatif membeli–belah dari rumah adalah segmen runcit yang semakin berkembang pesat, mengatasi pertumbuhan pasaran runcit fizikal. Capaian pelbagai platform GO SHOP ini bertujuan untuk memenuhi tuntutan rakyat Malaysia yang mencari pengalaman membeli-belah yang menghiburkan, menyeronokkan dan memudahkan.

“Sebanyak 55% pengguna internet di Malaysia hari ini membeli-belah secara dalam talian menerusi pelbagai peranti. Kadar ini dijangka akan berkembang seiring dengan peningkatan penembusan jalur lebar, peningkatan pendapatan, perkembangan kad kredit dan debit serta kepercayaan rakyat Malaysia dalam mengiktiraf manfaat membeli-belah. Komitmen kami dalam usaha untuk menyediakan para pelanggan kami hanya yang terbaik secara global adalah untuk memberikan pengalaman dalam e-dagang secara menyeluruh meliputi saluran televisyen membeli-belah dari rumah, sehingga ke Astro On The Go, dalam talian dan platform mudah alih dengan menyediakan produk yang tepat, harga yang berpatutan dan hak logistik rantaian bekalan serta memberikan pelbagai pilihan kaedah Gerbang Pembayaran Astro termasuklah kad kredit dan debit, pindahan wang melalui bank secara dalam talian dan pelan Pembayaran Mudah.

Pada masa sama, GS Korea menyedari sepenuhnya potensi perkongsian perniagaan ini yang luas dan yakin bahawa persekitaran perniagaan yang dinamik di Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan.

“Membeli-belah dari rumah menambah baik kehidupan, menghiburkan dan meluaskan lagi konsep runcit dalam dimensi baru yang menarik,” kata Huh Tae-Soo, Ketua Pegawai Eksekutif, GS Home Shopping Inc. “Malaysia sebagai pasaran antarabangsa ketujuh GS akan mendapat manfaat daripada pengalaman pengurusan dan pelarasan model runcit yang berdekad-dekat dan terbukti berjaya.”

“Elemen infotainment dan TV realiti yang menarik disuntik ke dalam setiap segmen bagi memperkaya pengalaman tontonan,” tambah Dato’ Rozalila Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Astro GS Shop Sdn Bhd. “Trend terkini dalam digital dan elektronik, perkakasan rumah dan peralatan dapur, gaya hidup, aksesori fesyen dan produk kosmetik akan ditawarkan dan ditambah baik melalui penggabungan produk, lantas membezakan kami daripada pasaran runcit tradisional.”

Sejak prapelancarannya pada 1 November 2014, GO SHOP telah menerima sokongan yang sangat memberangsangkan dengan tempahan lebih daripada 115,000 produk sehinggan kini. Buat masa ini, terdapat sebanyak 60 produk yang dapat diperolehi dengan perancangan untuk meningkatkan jumlah ini ke dua kali ganda dalam tempoh setahun.

Para pelanggan boleh membuat panggilan menerusi talian bebas tol 24 jam GO SHOP di 1800-82-0088 atau layari http://www.goshop.com.my untuk membuat tempahan produk.

Masa penghantaran adalah antara dua hingga lima hari bekerja di seluruh negara dan pelbagai pilihan pembayaran tersedia termasuk kad kredit dan kad debit keluaran tempatan, Pelan Pembayaran Mudah, pemindahan melalui bank secara dalam talian dan bayaran tunai semasa penghantaran.

Tentang GO SHOP
GO SHOP adalah destinasi gaya hidup beli-belah 24 jam yang menghiburkan yang mempunyai demonstrasi, promosi dan penjualan produk serta perkhidmatan menerusi pelbagai platform termasuk Astro TV, Astro On The Go, talian e-dagang dan perdagangan mudah alih dengan menawarkan pengalaman runcit pada bila-bila masa dan di mana jua. GO SHOP adalah usaha sama antara penyiar terkemuka di Malaysia, Astro Malaysia Holdings Berhad dan GS Home Shopping Inc – peruncit multimedia terkemuka Korea.

Tentang Astro Malaysia Holdings Bhd
Astro Malaysia Holdings Bhd merupakan peneraju kumpulan media bersepadu di Malaysia dan Asia Tenggara yang beroperasi dengan 4 perniagaan utama; TV berbayar, Radio, Penerbitan dan Media Digital. Dengan jumlah pelanggan lebih 3.7 juta pelanggan kediaman atau penembusan kira-kira 55% daripada televisyen kediaman di Malaysia, Astro menawarkan lebih 171 saluran TV, termasuk 39 saluran HD, yang disediakan melalui satelit TV Direct-To-Home, IPTV dan OTT.

Tentang GS Home Shopping Inc.
GS Home Shopping adalah syarikat perdagangan global dalam talian dari Korea. Selepas memperkenalkan televisyen beli-belah untuk pertama kalinya di Korea pada tahun 1995, GS Home Shopping kini menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah kepada pelanggan melalui pelbagai saluran seperti kaedah mudah alih, katalog, televisyen satelit dan IPTV.

GS Home Shopping, selaku peneraju dalam industri membeli-belah dari rumah di Korea, mempunyai kepakaran perniagaan, produk dan perkhidmatan membeli-belah dari rumah bertaraf dunia. Dengan membawa kepakaran tersebut ke luar negara untuk memberi kepuasan dan hiburan kepada penonton, GS Home Shopping mengendalikan rangkaian beli-belah dari rumah di lapan buah negara – Korea, Malaysia, China, India, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Turki.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Feli Sumayku Winner Of MTV VJ HUNT INDONESIA 2014

Keith Foo & Siti Saleha Penghias InTrend Februari 2015