in ,

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Drama Bersiri MANDATORI

Karya Adaptasi Novel ‘Crime Thriller’ Popular Bakal Cetus Fenomena Baru Dalam Industri Seni Tanah Air

Tampil dengan pendekatan yang ‘luar dari kebiasaan’, “Mandatori” sarat dengan aksi mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat

Amerul Affendi, Chew Kit Wah, Iedil Putra, Aeril Zafrel, Alvin Wong, Siti Saleha, Dato A Tamimi Siregar

Selepas dari kejayaan filem ‘Tombiruo’ yang berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung melebihi RM8 juta baru-baru ini, sebuah lagi adaptasi karya agung milik ‘Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia’, Ramlee Awang Murshid bakal diangkat Astro dan kali ini akan menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai 14 Disember ini.

INFO PENTING BERKENAAN ‘MANDATORI’

1. Astro dengan kerjasama Ideate Media (penerbit bersama ‘Tombiruo’) kini mengadaptasikan salah satu novel terkemuka milik penulis prolifik, Ramlee Awang Murshid berjudul ‘Mandatori’ ke bentuk visual untuk tontonan masyarakat umum.

2. ‘Mandatori’, mini siri bergenre ‘crime thriller’ ini hadir dalam enam episod (berdurasi satu jam setiap satu) diterajui nama-nama besar seperti Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alvin Wong, Iedil Putra, Dato’ A. Tamimi Siregar, Vanidah Imran, Susan Lankaster, Jo Kukathas, Meor Hashim Manap, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

3. Novel ‘Mandatori’ merupakan salah satu dari 35 karya tulisan milik Ramlee yang masih lagi mendapat tempat di hati ramai dan ia terbukti apabila kebanyakan hasil penulisan beliau diulang cetak untuk menepati permintaan ramai. Ia pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Alaf 21 Sdn Bhd, anak syarikat Grup Buku Karangkraf.

4. ‘Mandatori’ menjanjikan sebuah pengalaman terhebat untuk penonton oleh kerana jalan penceritaannya yang digarap kemas, disokong kuat dengan babak-babak yang mendebarkan dengan aksi-aksi suspen lagi ganas, dan yang paling utama, setiap adegan berjaya diterjemahkan dengan begitu baik sekali oleh kesemua pengemudi watak.

5. ‘Mandatori’ diarahkan oleh sutradara hebat, Razaisyam Rashid. Beliau yang sebelum ini terkenal dengan filem ‘CEO’ pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016.

6. Lokasi utama penggambaran ‘Mandatori’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa 35 hari untuk diselesaikan.

7. Sila rujuk di sini untuk klip video ‘Mandatori’- : https://instagram.com/p/BcW4QL4Fvae/

BARISAN PELAKON ‘MANDATORI’

Aeril Zafrel sebagai Inspektor Norman Abdullah
Alvin Wong sebagai Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan
Siti Saleha sebagai Juliana Zahara Johari (CEO, Johari Corp)
Iedil Putra sebagai Johan Bahar Johari (Bekas CEO, Johari Corp)
Dato’ A. Tamimi Siregar sebagai Tuan Johari Saidin (Presiden, Johari Corp)
Chew Kin Wah sebagai Kapten David Chong (Kapten Polis Banda Raya)
Jo Kukathas sebagai Doktor Devi Subash (Pemeriksa Forensik Polis Banda Raya)
Meor Hashim Manap sebagai Tuan Haji Salleh bin Deraman
Vanidah Imran sebagai Doktor Asmah (Pakar Psikiatri yang merawat Inspektor Norman)
Susan Lankaster sebagai Madam Agnes Lim
Amerul Affendi sebagai ‘The Handler’

Sharmin Parameswaran, Ketua Saluran Astro First Eksklusif & Astro Best:

Lebih mengujakan lagi apabila pada hari ini, kita lihat ramai di kalangan penggiat seni terutamanya penerbit, pengarah dan juga pelakon membuat pelaburan ke atas kandungan yang bersifat universal dan boleh dipasarkan di peringkat serantau dan antarabangsa. ‘Mandatori’ merupakan salah satu contoh terbaik sebuah kandungan yang sarat dengan nilai kebolehpasaran dan boleh dibawa menjelajah ke luar negara.

Hasil akhir yang dipersembahkan kepada kami ternyata sehebat karya yang dizahirkan oleh barisan produksi antarabangsa. Jalan penceritaannya ternyata ‘luar dari kebiasaan’. Kesan efek khas dan aspek sinematografinya cukup hebat. ‘Mandatori’ diasak dengan pelbagai babak aksi yang mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat. Ideate Media, produksi di sebalik kejayaan ‘Tombiruo’ sekali lagi berjaya mendorong ‘A-team’ mereka yang pada kali ini dikemudi oleh saudara Razaisyam Rashid menterjemahkan karya yang diadaptasi dari novel popular ini ke skrin televisyen dengan cukup baik sekali. Kami merasakan struktur produksi on and off the screen ‘Mandatori’ adalah sehebat penerbitan Hollywood. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.”

Zainir Aminullah, Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media:

Ideate Media sentiasa mementingkan proses pembangunan kreatif kerana ini adalah peringkat terawal bagi mendapatkan sesebuah karya yang baik. Bagi Mandatori, kami membuka ruang kepada generasi masa kini yang mempunyai sensibiliti kontemporari dan antarabangsa untuk menawarkan karya yang segar. Kerjasama yang baik di antara penerbit, pengarah dan krew produksi membantu produk ini menjadi lebih berkualiti tinggi. Kami berharap pembaharuan yang cuba diketengahkan melalui Mandatori ini dapat diterima baik oleh penonton.”

‘Mandatori’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 14 Disember 2017 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua enam (6) episod dengan berulang kali dalam tempoh 5 hari dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Mandatori’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.

SINOPSIS MANDATORI

‘Mandatori’ mengisahkan tentang seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (lakonan Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat di antara satu sama lain. Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu dan lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawa beliau kepada sebuah lagi kes pembunuhan baru. Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang beliau kenal mati dibunuh dengan kejam dan pembunuh itu akan meninggalkan petunjuk yang sama iaitu patung mainan ‘Inspektor Carlos’ dan kertas tulisan ‘Case Closed’ yang mana ada ketikanya dijumpai dalam bahagian badan si mati.

Dalam kesibukan Norman menjalankan penyiasatan dengan rakan setugas beliau, Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan (lakonan Alvin Wong), beliau berkenalan dengan Juliana Johari (lakonan Siti Saleha) yang merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan berjaya dan pemilik Johari Corp, Tuan Johari (lakonan Dato’ A. Tamimi Siregar) dan keluarga ini merupakan suspek utama kepada beberapa kes jenayah yang berlaku. Juliana yang pada mulanya tidak begitu menyukai kehadiran Norman mula berubah apabila risau akan tindak-tanduk adiknya, Johan Johari (lakonan Iedil Putra) yang dilihat semakin mencurigakan terutamanya apabila melibatkan kehilangan wang syarikat yang sangat ketara.

Juliana mula menyiasat dan beliau memerlukan bantuan Norman untuk menyelesaikan masalahnya. Keakraban yang tercetus ini membuatkan mereka jatuh cinta. Namun pelbagai dugaan dan ancaman yang hadir dari setiap penjuru menyukarkan lagi keadaan. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Juliana akan menjadi mangsa yang seterusnya? Dan, siapakah yang sebenarnya dalang di sebalik kes-kes pembunuhan bersiri yang berlaku? Jangan lupa, saksikan ‘Mandatori’ mulai 14 Disember ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Berani Mati Betul Azwan Ali aka Diva AA Kecam Datuk Sheila Majid? 

Grab Terbangkan Penumpang Ke California untuk Merasai Pengalaman Bersama STAR WARS