in

FAJAR KINABOI PADA 01 NOVEMBER 2008 DI RTM1

SLOT PANGGUNG 1 : FAJAR KINABOI PADA 01 NOVEMBER 2008 DI RTM1

Hujung minggu ini pastikan anda menonton drama Fajar Konaboi, Sabtu (1 November 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1 yang sarat dengan mesej hubungan kekeluargaan selain menyaksikan lakonan mantap Faizal Hussein, Aida Aris, Zack Idris, Rozima Bidin, Mohd Khalis, Anil Miraj dan Arie Mohd menghidupkan drama terbitan Suar Channel Sdn Bhd ini.

Fajar Konaboi mengajak penonton menghayati perjalanan kisah suami isteri, Kamal dan Dahlia yang memiliki sebuah rumahtangga bahagia dengan seorang anak bernama Amir. Tetapi berlaku krisis dalam diam setelah tugas Kamal sebagai penyelidik di sebuah syarikat pengeluar ubat herba banyak dihabiskan masa dengan tugas-tugas penyelidikannya. Hubungan Kamal dan Dahlia terjejas kerana kesibukan masa, malah Kamal tidak lagi dapat melayan kerenah Amir. Walau Kamal telah dinaikan pangkat kerana usahanya itu, Dahlia tidak sedikit pun menghargainya.

Halim, kawan sepejabat tempat Kamal mengadu masalah rumahtangganya. Begitu juga dengan Dahlia kerana mereka bertiga begitu akrab di universiti dahulu, tetapi Kamal yang berjaya memenangi hati Dahlia.

Karier Kamal hampir terjejas kerana formula herbanya untuk penyakit dalaman wanita telah dicuri, ia merunsingkan fikiran Kamal. Kamal telah dipanggil oleh ketuanya dan diberi amaran kerana beranggapan Kamal telah cuai dalam menyimpan rahsia syarikat dan bagaimana syarikat lain boleh dan telah melancarkan produk terbaru berdasarkan formula herbanya. Kamal merayu untuk diberi peluang kedua kerana dia begitu yakin yang dia tidak bersalah, Halim turut simpati dan akan membantu Kamal mencari dalang yang telah mencuri formula tersebut. Kamal percaya bahawa penyelidikannya telah disabotaj oleh individu tertentu.

Untuk menenangkan fikirannya yang akhir-akhir ini bercelaru, Kamal telah menyarankan kepada anak dan isterinya untuk pergi bercuti selama seminggu ke luar negeri. Malangnya pihak pengurusan telah menugaskan Kamal untuk mendapatkan herba yang dikatakan dapat mengubati penyakit malaria dan boleh ditemui di air terjun ‘Kinaboi’. Kamal serba salah kerana sebelum ini, Kamal telah berjanji untuk membawa keluarganya bercuti panjang.

Kamal mengambil keputusan untuk membawa sekali Dahlia dan Amir masuk ke hutan di Kinaboi mencari pokok herba sambil bercuti, walau pada mulanya Dahlia tidak bersetuju. Namun Dahlia terpaksa akur bila memandang Amir yang begitu gembira untuk masuk ke hutan bagi menimba pengalamannya sebagai pengakap sekolah, Dahlia menurut dengan terpaksa.

Di perkampungan orang asli ‘Kinaboi’ pula, tok batin dan pengikut-pengikutnya amat marah kerana sungai tempat mereka mendapatkan sumber air dan makanan telah tercemar. Baung dan Gawi telah ditugaskan untuk meninjau pergerakan pemburu haram. Mereka hanya menemui perangkap binatang dan kesan pemburu haram tetapi tidak dapat menjejaki mereka. Lalu Baung merosakkan perangkap pemburu haram tersebut walaupun di tegah oleh Gawi.

Dalam perjalanan, Kamal cuba menceriakan keadaan, tetapi Dahlia hanya membatu. Amirlah yang menjadi peneman Kamal berceloteh. Banyak panduan yang diberikan oleh Kamal kepada Amir untuk masuk ke hutan. Amir mendengar dan mencatat dalam buku kecilnya, seolah dia merasa dirinya seorang pengakap ketika itu.

Tiba di perkampungan orang asli Kinaboi, Halim menyambutnya bersama seorang rakan wanita yang dikenali sebagai Yani. Yani merupakan seorang wartawan. Kamal agak terkejut dengan kehadiran Halim di situ secara tiba-tiba tanpa diberitahu yang dia akan turut serta dalam penyelidikan ini. Kehadiran Yani membuatkan Dahlia semakin cemburu apatah lagi melihat cara Yani yang terlalu ‘mesra’ dengan Kamal. Ia mengundang rasa tidak senang Kamal melihat perlakuan dingin Dahlia.

Kehadiran Kamal dan yang lain-lain tidak disenangi oleh beberapa orang penduduk orang asli di situ. Mereka merasakan orang luar telah mencemarkan kawasan mereka.

Adakah pencarian Kamal cuba menjejak ubat penyakit malaria itu berhasil dan sekaligus dapat menangkap dalang yang bertanggungjawab cuba mencuri hasil kajiannya itu?

Jangan ketinggalan menyaksikan  Fajar Konaboi yang menemui penonton pada hari Sabtu (1 November 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Avaa Vanja’s New Short Hair: Love It or Hate It?

DRAMA CAHAYA MATA NURAIN LAKONAN SAFURA YAACOB, RAISSUDDIN HAMZAH