KONGSI KISAH ’WADI RAHMAH’ DI TV2
Ramai beranggapan projek ternakan cacing dianggap menggelikan namun menerusi drama bersiri mengisi Slot Galeri Famili bertajuk Wadi Rahmah, persepsi masyarakat cuba diubah menyaksikan sekumpulan golongan muda membuka syarikat Wadi Rahmah Industri Sdn Bhd yang mengusahakan projek ini.
Disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 2.00 petang di TV2 mulai 9 November 2009 lalu, drama 26 episod yang dibintangi Faizal Yusof, Ayu Raudhah, Azza AF, Shajiri Dameri, Pekin Ibrahim, Aznah Hamid dan Fadilah Mansor ini berkongsi kisah watak utama Helmi, anak kepada pasangan Halim dan Azizah yang baru pulang dari belajar diluar negara. Kepulangannya membuatkan Azizah kecewa kerana Helmi sibuk pulang ke kampung untuk berjumpa Lokman dan Zaharah iaitu Pak Long dan Mak longnya di Wadi Rahmah.
Kepulangan Helmi ke Wadi Rahmah mengejutkan Zaharah dan Lokman. Mereka menyangka Helmi sudah tidak ingatkan kampung halaman setelah belajar di luar negara. Namun Helmi menyangkal dakwaan Zaharah kerana dia selesa dengan suasana kampung. Helmi juga kagum dengan usaha yang dilakukan Lokman iaitu menjalankan industri tani yang berasaskan cendawan.
Mazni adalah gadis kampung yang bekerja di pusat internet kepunyaan Rashid iaitu paksunya. Dia juga tinggal bersama Rashid dan isterinya. Mazni mempunyai teman lelaki bernama Farid. Dalam masa yang sama Sudin yang juga pekerja Rashid turut meminati Mazni. Mazni menjadi rimas dengan perlakuan Sudin yang selalu mengusiknya.
Di kampung juga Helmi berjumpa rakannya Ismail yang sama menuntut di Universiti dulu namun tidak bernasib baik untuk meneruskan pembelajaran ke luar negara.
Azizah bercadang untuk membuat jamuan makan sempena kepulangan Helmi lalu menyuruh Helmi pulang ke rumah. Azizah mengarahkan Halim menjemput semua jemputan kehormat untuk dikenalkan kepada Helmi. Halim hanya menurut tanpa menduga ada agenda yang lain yang di aturkan oleh Azizah.
Helmi pulang ke rumah dengan membawa cendawan hasil industri Lokman. Halim memuji hasil industri yang dijalankan Lokman. Helmi menyampaikan hasrat kepada Halim untuk menceburkan diri dalam bidang indutri tani dan ingin mengantikan Halim untuk membalas jasa orang kampung bagi pihak Halim. Halim setuju dengan hasrat Helmi, namun Azizah membangkang.
Pada malam jamuan makan diadakan, Azizah memperkenalkan Helmi kepada seorang Datuk. Dalam masa yang sama Azizah cuba melobi Helmi untuk bekerja di syarikat Datuk tersebut. Datuk itu juga membuka peluang kepada Helmi sekiranya berminat menyertainya. Dengan tanpa rasa serba salah Helmi menolak tawaran Datuk itu.
Azizah meluahkan perasaan marah dan malunya kepada Halim. Namun Halim juga tidak bersetuju cara Azizah melobi Helmi. Halim minta Azizah faham dengan hasrat Helmi.
Helmi pulang ke kampung untuk meneruskan usahanya untuk membuka satu projek industri tani. Lalu mengajak anak-anak muda kampung untuk turut menyertainya. Usaha Helmi mendapat sambutan oleh anak-anak muda kampung antaranya Ismail, Farid, Sarah dan juga Mazni. Sarah adalah anak ketua kampung bekerja di sebuah bank. Dia juga teman wanita kepada Ismail. Dengan adanya Sarah sedikit sebanyak melancarkan proses pinjaman dari bank yang mereka cuba dapatkan untuk majukan lagi industri tani mereka.
Mereka semua sepakat untuk mengeluarkan modal mengikut kemampuan masing-masing. Dengan diketuai oleh Helmi industri tani yang mereka namakan Wadi Rahmah Industri Sdn Bhd telah memulakan projek ternakan cacing seperti yang disyorkan oleh Sarah. Berjayakah projek diusahakan mereka? Ikuti kesudahan Wadi Rahmah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini menemui penonton yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 2.00 petang di TV2.