Tanpa perlu promosi dan hebahan mengenai konsert Faizal Tahir – One Night Only di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 30 November ini, semua tiket berharga RM120 dan RM216 bagi pertunjukan jam 8.30 malam itu sudah habis dijual.
[dropcap]K[/dropcap]onsert yang dirancang untuk berlangsung selama 90 minit itu akan dipersembahkan kepada penonton melalui sebuah setlist 12 lagu yang dipilih dan diatur rapi oleh Faizal sendiri bersama kugirannya. Tentang pemilihan lagu, kebanyakan lagu-lagu hits yang melonjakkan karier beliau yang menjadi keutamaan untuk disampaikan dengan cara yang istimewa di DFP pada hari tersebut.
Nampaknya penangan penyanyi yang kembali menyengat dengan lagu Assalamualaikum itu masih berbisa dan persembahannya masih dinanti-nantikan.
Bertemakan One Night Only, konsert ini bakal terus menyerlahkan bakat artis muda tempatan melalui genre muzik mereka dan memberikan platform untuk pencinta muzik tempatan menghargai bakat mereka di pentas berakustika tinggi.
Penyanyi lagu Sampai Syurga itu memasuki senarai artis yang sudah pun diberi peluang membuat konsert solo di DFP selepas Yuna, Najwa, Aizat, Hafiz, Hujan, Rachel Guerzo, Noryn Aziz dan Dayang Nurfaizah.
Pengasas syarikat Faithful Music yang membariskan artis muda seperti Elizabeth Tan dan Hanie Soraya ini akan mengimbau kembali nostalgia lagu popularnya seperti Karma, Hanyut, Mahakarya Cinta, Selamat Malam, Gemuruh dan Bencinta. Beliau bakal diiringi pemuzik-pemuzik terkemuka di Malaysia.
Sepanjang satu dekad, pelbagai pencapaian telah dibuktikan oleh beliau seperti tiga buah album dengan deretan lagu hits, anugerah-anugerah berprestij seperti Album Rock Terbaik dan Album Terbaik di AIM 2008, lagu terbaik di Anugerah Planet Muzik yang baru berlalu di Singapura serta yang paling terkini, pencalonan untuk kategori Best South East Asian Act di MTV Music Awards Eropah tahun ini.
“Saya tidak akan membuat persiapan secara teratur kerana mahu mood persembahannya nanti lebih santai. Saya akan tampil secara rock & roll. Cuma jujurnya saya tidak terlalu beriya-iya dalam membuat persiapan latihan,” katanya.
Faizal yang juga seorang komposer dan penerbit album, menjadi antara artis muda berpengaruh dalam aliran muzik semasa. Muzik dan imej beliau yang segar membuka mata masyarakat sejak beliau memasuki pertandingan realiti ‘One In A Million’ pada tahun 2006.
Kini, beliau mengakui tarikh Dewan Filharmonik Petronas nanti bakal menjadi cabaran terbesar dan landmark buat diri beliau untuk meraikan sedekad beliau di dalam industri muzik.
Walau hanya dinobatkan sebagai naib juara, dia tidak menoleh ke belakang lagi dan terus memacu kejayaan satu persatu. Album perdana beliau, Aku.Muzik.Kamu, memenangi anugerah di majlis muzik berprestij di Malaysia termasuk Vokal Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 2008.
Pada tahun 2010, album Adrenalin memenangi kategori Album Terbaik di AIM sementara lagu Karma memenangi tempat kedua di Anugerah Juara Lagu pada tahun 2012.
Beliau juga dinobatkan Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2010. Dia telah merakamkan 3 buah album dengan deretan lagu hits yang terus memanjat carta.
Single terbarunya, Assalamualaikum, yang diterbitkan Warner Music, mendapat tontonan sebanyak 1.5 juta di YouTube dan memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Planet Muzik yang lalu di Singapura. Dia juga tercalon untuk kategori Best South East Asia Act di MTV Europe Music Award tahun ini.
Selain berkerja keras dengan persediaan untuk konsert ini, Faizal Tahir sedang dalam proses untuk mengeluarkan album keempat beliau yang dijangka akan menemui peminat pada tahun hadapan. Jelas beliau, album tersebut akan mengandungi 8 ke 10 lagu dalam genre dan konsep kontemporari ataupun ‘Sound of Rock 2016′.
Sumber: Berita Harian