Penyanyi dan komposer tersohor, Faizal Tahir, kembali menghangatkan industri muzik dengan album terbarunya yang diberi judul Jati Diri. Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, album ini bukan sekadar koleksi lagu, tetapi juga satu simbol kebanggaan terhadap budaya dan warisan tempatan. Istimewanya, album ini dihasilkan bersama penerbit muda berbakat, Glowrush, di bawah kolaborasi duo mereka yang dikenali sebagai Let Zapin.
Apa yang lebih menarik, pelancaran album Jati Diri membawa konsep unik yang jarang dilihat dalam industri muzik tempatan – kenduri kendara dan rewang. Tradisi yang semakin dilupakan ini dipilih sebagai tema utama kerana ia melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kasih sayang dalam masyarakat.
Kembali Kepada Akar Budaya & Identiti
Menurut Faizal, konsep ini dipilih kerana ia sangat dekat di hatinya. Dalam dunia moden yang semakin individualistik, semangat berkumpul, berkongsi dan membantu semakin pudar. Dengan album ini, Faizal berharap dapat menghidupkan kembali nilai-nilai tersebut dan mengingatkan masyarakat tentang pentingnya jati diri serta akar budaya.
“Kenduri bukan sekadar satu majlis makan-makan. Ia sebenarnya melambangkan nilai-nilai persaudaraan dan kebersamaan yang semakin dilupakan. Kita berkumpul, memasak bersama, dan berkongsi kegembiraan. Itu adalah satu bentuk keberkatan yang patut kita hargai,” jelas Faizal.
Album Jati Diri bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu peringatan tentang identiti dalam arus globalisasi. Faizal percaya bahawa memahami dan menghargai asal-usul, budaya, dan agama adalah kunci untuk memastikan kita tidak kehilangan arah dalam dunia yang serba pantas ini.
Kolaborasi Dengan Dua Nama Besar Industri
Menambah lagi keunikan album ini, Altimet dan Datuk M. Nasir turut hadir sebagai penyanyi undangan. Nama-nama besar ini dipilih bukan hanya kerana populariti mereka, tetapi juga kerana keupayaan mereka menyampaikan mesej bermakna dalam karya masing-masing.
“Datuk M. Nasir adalah ikon muzik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pengaruh beliau sangat besar, bukan sahaja dalam muzik tetapi juga dalam cara beliau mengangkat elemen budaya dan tradisi dalam setiap karya. Manakala Altimet pula adalah seorang yang sentiasa menyampaikan mesej mendalam dalam liriknya. Saya sangat teruja dapat berkolaborasi dengan mereka dalam album ini,” tambah Faizal.
Susunan Muzik Berakar Tradisi, Diterapkan Sentuhan Moden
Dari segi susunan muzik, Jati Diri berbeza daripada album-album Faizal yang terdahulu. Kali ini, Faizal lebih menekankan elemen muzik tradisional yang digabungkan dengan sentuhan moden dan kontemporari. Cabaran terbesar dalam menghasilkan album ini adalah memastikan setiap lagu selaras dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.
Salah satu lagu yang menjadi taruhan utama adalah ‘Orang Kampung’, sebuah lagu yang penuh semangat dan menyegarkan. Dengan melodi yang rancak serta lirik yang meraikan kehidupan di kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan dan keindahan budaya desa yang sering dipandang remeh dalam era moden ini.
“Lagu ini bukan sekadar untuk hiburan, tetapi juga satu penghormatan kepada nilai-nilai kebersamaan dan kesederhanaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung. Saya mahu pendengar merasai nostalgia suasana desa, menghargai kehidupan yang lebih tenang dan mesra,” jelas Faizal.
Selain itu, Faizal turut menegaskan bahawa album ini cuba menjaga keseimbangan antara muzik tradisional dan moden. Pendekatan ini diambil supaya ia dapat terus relevan kepada peminat muzik muda, sekaligus menarik minat generasi baru untuk mengenali dan menghargai muzik serta budaya tempatan.
Lancar Video Lirik & Tarikh Rasmi Album
Bagi peminat yang ingin menikmati lagu-lagu dalam Jati Diri, Faizal telah melancarkan video lirik rasmi ‘Orang Kampung’ di saluran YouTube beliau. Album penuh pula boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 7 Februari 2025.
Dengan gabungan identiti budaya, nilai tradisional, dan mesej bermakna, album ini dijangka akan membawa satu gelombang baru dalam industri muzik tempatan. Faizal berharap karya ini bukan sahaja dapat diterima oleh peminat, tetapi juga dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghargai warisan budaya sendiri.
Apa Kata Budiey?
Melihat kepada konsep dan keunikan album Jati Diri, jelas bahawa Faizal Tahir bukan sekadar ingin menghiburkan peminat, tetapi juga ingin menyampaikan sesuatu yang lebih mendalam dan bermakna. Langkah ini sememangnya wajar dipuji kerana ia tidak hanya menonjolkan muzik berkualiti, tetapi juga memartabatkan budaya dan identiti Malaysia.
Dalam industri muzik yang semakin dikuasai oleh elemen-elemen luar, album sebegini sangat diperlukan agar kita tidak terlalu terpengaruh dengan budaya asing hingga melupakan akar sendiri. Jika lebih ramai artis tempatan mengambil pendekatan seperti Faizal, pasti industri muzik Malaysia akan lebih kaya dengan identiti tersendiri.
Bagi Budiey, ini adalah satu inisiatif yang segar dan perlu diteruskan. Semoga album Jati Diri mendapat sambutan yang hebat dan menjadi pencetus kepada lebih banyak karya tempatan yang mengangkat nilai budaya serta tradisi kita. Selamat maju jaya, Faizal Tahir!