Faizal berkata, harga tiket konsert tersebut semuanya telah ditentukan oleh pihak penganjur, namun mendedahkan dia juga agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai harga.
“Kalau ditanya mengenai harga tiket, semuanya adalah di luar bidang kuasa saya. Masa mula-mula dimaklumkan pun saya dah rasa terkejut.
“Bagaimanapun, saya serahkan semuanya kepada penganjur dan faham apa sebab mereka meletakkan harga yang sebegitu. Lagipun nak kurangkan semula harga tiket seperti agak mustahil,” ujarnya.
Faizal berkata demikian ketika ditemui media sewaktu sidang media Konsert Faizal Tahir Live In KL yang berlangsung semalam.
Ia berikutan dakwaan segelintir peminat penyanyi itu yang menyatakan tiket konsert Faizal untuk harga yang paling murah adalah RM488.
Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad bakal berlangsung pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.
Istimewanya, ia adalah konsert solo pertama penyanyi berkenaan setelah 17 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.
Dalam pada itu, penyanyi berkenaan juga mengakui sedikit tertekan memandangkan dia perlu tampil dengan sebuah konsert yang terbaik buat peminatnya agar ia berbaloi dengan harga tiket yang dijual.
Tambahnya, dia juga tidak menafikan ada segelintir yang telah membandingkan harga tiket konsertnya dengan penyanyi antarabangsa yang membuat persembahan di Malaysia.
“Apapun saya minta maaf kerana tidak terlalu ambil kisah dengan harga tiket. Apapun sebagai seorang penghibur, pasti saya akan lakukan yang terbaik buat mereka yang menyaksikan konsert saya ini,” ujarnya.
Untuk mereka yang menyaksikan konsert berkenaan, tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111(kiriman WhatsApp sahaja).