in

Faizal Ismail Nafi Dapat Tawaran Lumayan Stesen Radio Lain

Semalam, Budiey berkesempatan untuk makan tengahari bersama penyampai radio lelaki popular, Faizal Hot FM di Restoran Marche, The Curve, Mutiara Damansara. Sebelum ini, Faizal Ismail telah mewar-warkan kepada media sosial yang dia telah meletak jawatan sebagai penyampai radio di Hot FM. Ramai peminat yang sangat terkejut. Budiey pun terkejut jugak sebab takde angin, takde ribut, tiba-tiba je FBI nak keluar dan mencari haluannya sendiri. Sedih gak kan? Tapi sebagai seorang yang mengenali FBI, Budiey pun faham, beliau sudah tentu ada misi yang belum diselesaikan. Ramai yang dah buat spekulasi kenapa FBI nak berhenti. Yang pasti, menurut kata FBI, dia berhenti bukan sebab dapat tawaran lumayan di stesen radio lain. Budiey difahamkan, FBI tetap akan bertugas pada hujung minggu, mungkin Sabtu atau Ahad. Sekarang ini, FBI masih lagi bekerja sehingga tarikh 15 November 2013.

“Saya letak jawatan bukan kerana tawaran lumayan daripada stesen radio lain. Saya berhenti, bukan kerana saya lebih tertarik dengan tawaran stesen radio lain atau mempunyai masalah dengan Hot FM. Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan terima sebarang tawaran bekerja dengan stesen radio lain. Jadi, spekulasi mengenai peletakan jawatan saya kerana ingin beralih angin adalah tidak benar. Saya berhenti kerana ingin urus perniagaan sendiri. Malah, perkara ini telah saya bincang bersama isteri yang juga penasihat saya sejak dua tahun lalu.”

Tambah Faizal, selepas tarikh itu, dia masih lagi bersama radio tersebut secara sambilan menerusi segmen khas.

“Saya masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini. Selepas itu, saya akan sambung secara ‘part time’ sahaja, mungkin di segmen hujung minggu, Sabtu atau Ahad. Pada 24 Oktober lalu, notis peletakan jawatan itu, namun saya perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh stesen radio. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, mereka menerima permohonan saya.”

Sukar Untuk Urus Masa

Baru sahaja menubuhkan syarikat miliknya, FBI Entertainment Sdn Bhd, sejak dua bulan lalu, akui Faizal, agak sukar untuk menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa.

“Pada awalnya, saya cuba untuk bahagi masa sebaik mungkin untuk urus syarikat dan kerjaya. Namun, saya gagal beri komitmen yang baik untuk kedua-duanya. Jadi, saya perlu korbankan karier saya. Walaupun berat hati, saya terpaksa demi masa depan keluarga. Sejujurnya, saya memang sayangkan karier ini kerana saya bermula dari bawah dan melalui peringkat demi peringkat sehingga berjaya sampai ke tahap ini. Namun, sampai bila saya mahu berada di konti? Saya percaya, populariti kini tidak jamin (kekal populariti) untuk lima tahun yang akan datang. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam kepompong ini sehingga sukar untuk pilih cabang lain.”

Katanya, selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berhasrat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan kariernya.

“Saya tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana sampai pada satu tahap, kita memerlukan pembaharuan. Saya perlu cuba bidang lain dan mencabar diri saya untuk urus perniagaan,”

Tambah Faizal, walaupun syarikatnya masih baru, tetapi ia menunjukkan perkembangan membanggakan.

“Alhamdulillah, ada dalam kalangan rakan saya bersedia untuk bekerja bersama dan mereka menunjukkan komitmen yang baik. Menerusi syarikat itu, kami akan terlibat dalam pengurusan majlis, produksi televisyen. Malah, saya juga berhasrat untuk kembangkannya sebagai platform untuk penghasilan drama.”

Tiada pengganti?

Menurut Pengarah Rangkaian Hot FM, Seelan Paul, mengakui peletakan jawatan Faizal adalah satu kehilangan besar buat radio itu.

Katanya, populariti Faizal sepanjang berada di radio itu banyak memberi keuntungan dan kepentingan kepada syarikat.

“Faizal adalah salah seorang penyampai radio yang memainkan peranan penting dalam peningkatan rating pendengar. Malah, ia adalah satu kehilangan besar buat kami. Mana tidaknya, sehingga kini, dia mempunyai kelompok peminat tersendiri termasuk 500,000 pengikut di laman sosial. Malah, sehingga kini, kami masih tidak jumpa pengganti yang layak untuk menggantikan Faizal. Mungkin kami akan ambil masa selama sebulan dua untuk mencarinya. Sepanjang ketiadaan Faizal, AG dan Fara Fauzana akan menggantikannya.”

Faizal Ismail pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama 6 tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hydra Takes It Up One Notch

Astro Radio Kekal Nombor 1 Malaysia