in , ,

Faizal Hussin, Jasmin Hamid dalam Drama Rendang Madu

KISAH WANITA BEREBUT SUAMI DALAM RENDANG MADU DI TV1

Bertemakan 1 Kenikmatan Sejuta Pengertian sempena bulan penuh keberkatan, bulan beribadah Ramadhan Al Mubarak dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi, RTM menyiarkan telemovie komedi Rendang Madu.

Telemovie berkisarkan mengenai masakan tradisional, rendang yang menjadi isu utama penceritaan sehingga timbulnya masalah rumahtangga. Telemovie komedi ini dilakonkan oleh Faizal Hussin, Jasmin Hamid, Raja Farah, Musly Ramly, Jobot dan ramai lagi pelakon-pelakon hebat tanahair.

jasmin hamid

Rendang Madu mengisahkan tentang Latifah dan Mariam, dua bersahabat yang tinggal sekampung. Setiap tahun, Latifah mengusahakan perniagaan biskut raya bersama suaminya. Namun tahun ini suaminya, Harun telah lebih awal memohon maaf kerana tidak dapat membantunya kerana memandu teksi yang disewa dari pengusaha teksi, Abon bagi mencari wang tambahan untuk berhari raya. Usaha murninya itu adalah untuk medapatkan punca kewangan lain selain perniagaan biskut Latifah.

Justeru bagi membantu Latifah, Harun telah mencadangkan rakannya Mariam, teman rapat untuk membantu Latifah. Harun memaklumkan bahawa Mariam pernah memberitahunya tentang kehebatan Latifah dalam bidang masakan dan menjadikan Latifah sebagai idolanya. Mariam juga beria-ia mahu membantu Latifah. Pada mulanya, Latifah berat hati untuk mengambil pembantu lain selain suaminya, namun benar kata Harun, Mariam bersungguh mahu menjadi pembantunya lalu bersetuju.

Satu pagi Ramadhan, Abon ke rumah Mariam untuk menghantar juadah berbuka lalu terpandang Mariam yang sedang sibuk memasak rendang. Tanpa segan, Abon meminta Mariam membekalnya sedikit rendang untuk berbuka.

Sebaik menjamah, Abon berasa hairan kerana rendang Mariam saling tak tumpah rasanya seperti rendang air tangan Latifah. Sejak itu, Abon mula rasa syak wasangka tambahan dia tahu Mariam kini bekerja dengan Latifah dan bersahabat baik. Abon mula berasa sangsi tentang keikhlasan Mariam terhadap Latifah lalu ingin menyiasat perkara itu.

Di pagi Syawal, rombongan meminang dari Abon tiba di rumah Mariam untuk meminangnya. Latifah yang telah dimaklumkan oleh Mak Jah turut berada di sana bersama Harun. Harun dan Abon mula berasa gelisah memandangkan juadah utama yang terhidang adalah rendang. Tambahan lagi, dua jenis rendang yang berbeza terhidang di meja hidangan iaitu rendang masakan Mariam dan rendang buatan Latifah.

Tatkala rombongan meminang mahu memulakan mukadimah acara peminangan, Mariam secara tiba-tiba bersuara tidak bersetuju dengan pinangan tersebut. Semua tetamu yang hadir terkejut dengan tindakan Mariam.

Adakah resepi rendang menjadi isu penolakan pinangan Abon? Saksikan kesudahan telemovie komedi Rendang Madu di Saluran Informasi TV1 pada 22 Ogos 2010, Ahad jam 10.05 pagi.

Raja Farah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sean Diddy Cari Bakat dalam Making His Band

Utusan Ke Jannah Drama Istimewa Ramadan