in , ,

Ezuwan Ismail Akui Adibah Noor Tidak Cerewet, Sediakan Busana Sejak 10 Tahun Lalu

Pereka fesyen terkenal yang turut berjinak jinak dalam dunia nyanyian, Ezuwan Ismail berkongsi cerita dan pengalamannya menyediakan busana untuk penyanyi Adibah Noor terjalin sejak lebih 10 tahun lalu.

Ezuwan menyifatkan pemilik suara yang menempah tiket ke separuh akhir pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan Ahad ini sangat menyenangkan dan tidak cerewet.

Malah lucunya, Ezuwan berkata dalam tempoh sedekad itu boleh dibilang dengan jari saja pertemuan fizikal membabitkan mereka.

“Kali pertama jumpa dia masa tengah hoskan sebuah acara fesyen di pusat beli belah KLCC. Masa itu saya teman Allahyarham Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) jadi ‘muse’. Dia tengok baju arwah pakai masa itu dan cakap berkenan. Tambah pula dia dan arwah bertubuh comel atau ‘plus size’. 

“Selepas itu, dia pernah datang ke rumah saya untuk ukur ukuran bentuk badan. Masa itu saya belum ada butik lagi. Selebihnya aliran komunikasi kami berlangsung selepas itu hanya menerusi telefon bimbit atau bermesej di aplikasi WhatsApp.  Banyaknya lebih ke WhatsApp. 

“Bayangkan sampai saya sudah ada butik di Taman Dagang, Ampang pun, dia tak pernah jejak. Selepas itu, adalah beberapa kali kami berjumpa untuk sesi ‘fitting’. Daripada dulu ukuran baju yang saya ambil kali pertama tak berubah ketara. Paling kurang pun dia akan cakap minta besarkan ukuran lebih seinci. Itupun boleh dikira berapa kali saja dia minta dibesarkan ukuran berkenaan,” kata Ezuwan membuka cerita.

Bermula daripada sekali menggunakan khidmat saya sebagai pereka fesyen bajunya, tempahan itu ‘berjangkit’ atau berulang ditempah tanpa henti

“Siap baju yang ditempahnya untuk acara atau pertandingan, hanya sediakan invois untuk bayaran. Selepas itu hanya pembantu peribadi atau pekerjanya yang datang ‘collect’ pakaian di butik saya. Dia hanya akan cakap nak warna baju itu ini dengan sejumlah tertentu. Perihal rekaan, semuanya dia serah bulat bulat dekat saya. 

“Dia takkan tanya atau nak tengok rekaan bagaimana saya hasilkan untuknya. Bab rekaan, material kain atau potongan, apa yang dia utamakan adalah keselesaan dan nampak elegan walaun berukuran plus size. Malah selama ini, memang baju dihantar dan ditempah dipakainya tanpa banyak songeh dan tidak perlu ‘alter’.

“Keserasian dan kepercayaan itu mungkin juga jadi sebab kami terus bekerjasama. Dia tidak takut mencuba warna apa sekalipun. Kalau sudah plus size, buat apa nak sorok lagi. Dia pakai apa yang diingini, janji selesa,”  kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Malah tegas Ezuwan lagi, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu juga menolak tajaannya dan lebih kepada konsep profesional iaitu membayar pakaian ditempah.

“Pernah saya nak taja baju untuknya. Tapi dia menolak sebab nak ‘support’ survival pereka fesyen seperti saya. Dulu terlintas hati nak taja masa dia mengacarakan Anugerah Industri Muzik. Dia tolak juga.

“Malah kalau sempena ulang tahun hari lahirnya, saya nak hadiahkan baju. Dia tetap dengan pendirian nak bayar.  Atau paling kurang pun, dia hanya akan bersetuju bayar separuh kos baju itu macam komitmennya sepanjang di GV 8. Siap tak berkira ‘tag’ nama saya di bawah entri baju dipakainya,” katanya yang turut menjadi pilihan selebriti seperti Rozita Che Wan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan ramai lagi.

Dalam tempoh lebih 10 tahun itu, adat dalam hubungan terjalin, kerjasama mereka pernah terhenti seketika.

“Dijadikan cerita pernah satu ketika, baju yang dia nak tempah, saya tak dapat penuhi kerana terlalu sibuk dengan komitmen menyiapkan baju kahwin. Ikutkan selama ini, ada permintaan minit akhirnya kerana situasi tak terduga… saya boleh penuhi.

“Masa itu, dia guna khidmat pereka fesyen lain. Selang beberapa ketika, dia kembali kepada saya. ‘Merajuk’ dia tak lama.  Saya meminta maaf kepadanya kerana bukan sengaja berbuat begitu. Kerjasama terjalin semula.

“Dia terus sokong khidmat dan kepakaran saya. 

Hingga kini hampir 1000 jugalah baju ditempahnya.

Apabila sudah selesa dan diberi kepercayaan penuh, saya sampai satu tahap bimbang mengulang siar rekaan baju. Tapi setakat ini ia belum terjadi,” katanya.

Mengenang kembali persahabatan dan kerjasama mereka, Ezuwan teringat kata kata seseorang yang pernah cakap betapa untungnya mana mana pereka fesyen itu kalau Adibah mempercayai khidmat dan bakat dimiliki.

“Masin mulut yang cakap itu. ‘Jodoh’ saya dengannya kuat sampai sekarang.  Malah  bukan nak bodek dia sebab guna khidmat saya. Tapi saya pernah dengar ada cakap dia diva dan cerewet. Namun sepanjang kerjasama kami, dia sangat ‘sempoi’ dan tidak seperti digambarkan.

“Pada akhirnya saya cuba berikan yang terbaik untuknya.  Tambah pula, dia barangkali percaya bukan mudah untuk orang bertubuh gebu mendapat pakaian sesuai.

“Ini saya teruja nak siapkan  pula baju separuh akhirnya untuk GV8. Kalau dia ada rezeki ke ‘final’, semestinya saya nak siapkan baju paling meletop untuknya,” katanya sambil mengakui tidak mempunyai gambar berdua bersama lantaran tidak selalu berjumpa.

Selain Adibah, pentas separuh akhir GV8 turut menyaksikan Suki Low, Aliff Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee bakal berentap sesama sendiri menempah tiket ke final.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tiket Konsert Nafas Cinta Khai Bahar Habis, Tapi Jangan Risau, Ini Cara Lain Untuk Menonton

IDW

IDW Cipta Sejarah Miliki Aplikasi Pertama Hiasan Dalaman Di Malaysia