Slot Samarinda yang menampilkan drama-drama berkisarkan dunia korporat dan lambang kemewahan konflik kehidupan di kota, memperkenalkan drama terbaru berjudul Legasi 43 Karat. Legasi 43 Karat sebanyak 25 episod ini akan menemui penonton mulai 26 Ogos 2009, jam 10.30 malam setiap hari Selasa hingga Khamis. Siri ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Ezany Nazariff (Dani Datuk Haris), Shaheizy Sam (Johan Hazim), Rebecca Nur Islam (Felisia Azani), Rahim Jailani (Datuk Haris), Aznah Hamid (Datin Hamidah) dan Rosnah Johari (Puan Saadiah).
Lagasi 43 Karat mengisahkan tentang Datuk Haris, pewaris rangkaian berlian ‘LEGASI 43 Karat’. Perniagaan itu dipelopori oleh arwah ayahnya dan kini rangkaian syarikat itu dikendalikan oleh anak lelaki tunggal Datuk Haris, Dani. Dani berkaliber, taat kepada ibu bapa dan saudara maranya. Malah, Dani amat disukai oleh makciknya, Puan Saadiah (adik perempuan Datuk Haris). Malah, Saadiah selalu mengagung-agungkan kehebatan Dani kepada anak lelakinya sendiri, Johan. Johan seorang yang kasar dan tidak berminat hendak menguruskan perniagaan di mana menurut wasiat dia perlu meneruskan legasi perniagaan tersebut.
Episod pengenalan Legasi 43 Karat menceritakan pelancaran majlis rangkaian butik berlian baru keluarga Dani yang disempurnakan dalam suasana gilang gemilang. Tetamu yang hadir tertarik dengan gaya, kekacakan dan hati budi Dani yang begitu merendah diri. Dalam sidang media yang seterusnya, Datuk Haris menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan dan menyerahkan tampuk pengurusan kepada Dani.
Nek Zah muncul di situ dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut sehingga menyebabkan berlaku sedikit perselisihan di antara Datuk Haris dan Nek Zah. Dani menjadi orang tengah dan mendamaikan keadaan. Dani mempunyai kebiasaan untuk mencatatkan semua rancangan pentingnya di dalam sebuah diari rahsia.
Shaheizy Sam
Rebecca Nur Islam
Ezany Nazariff sebagai Dani Datuk Haris
Di rumah banglo mereka, Dani turut mengadakan sebuah kejutan majlis hari jadi untuk meraikan ulang tahun Puan Saadiah, sehingga ada tetamu yang salah sangka Dani sebagai anaknya. Sedangkan anak kandungnya, Johan, pula terlalu leka mencari koleksi cekera padat filem di kedai video. Ketika Johan menemui cekera padat kegemarannya, ia telah dibeli oleh Felisia terlebih dahulu. Berlaku salah faham yang melucukan sehingga akhirnya, Johan berjaya mencuri cekera padat itu daripada Felisia. Felisia mengejarnya, sehingga satu malapetaka telah berlaku.
Apakah malapetaka itu? Menerusi diari rahsia Dani pula, kita mula mengetahui niat sebenar Dani. Apakah niatnya sebenar Dani dan adakah sebenarnya kelakuannya dan keperibadiannya sebaik yang disangka? Sama-sama kita saksikan kesudahan siri ini!