in , ,

Ezad Tersingkir dari GV Hilang Fokus & Trauma Rumah Dilanda Banjir

Penyanyi Ezad Lazim bersyukur rumahnya masih selamat daripada musibah banjir, sebaliknya air hanya melimpah sehingga tempat letak kereta.

Bagaimanapun, kata Ezad jalan masuk ke rumahnya yang terletak di Kota Warisan ditutup kerana ditenggelami air, semalam.

Justeru, Ezad terpaksa meminta bantuan pihak polis untuk membawanya keluar bagi membolehkannya menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza (ASGV) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, semalam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kata Ezad, isterinya Zeana Ramli memindahkan barang berharga ke ruangan atas rumah ekoran bimbang air naik mendadak ketika ketiadaan mereka.

“Ketika ‘sound check’ hujan semakin lebat, semalam. Jadi, tumpuan saya terganggu kerana bimbang memikirkan keadaan rumah.

“Nasib baik dua anak dihantar ke rumah ibu mentua dan barangan berharga sudah dipindahkan ke tingkat atas, tapi kami tetap bimbang kejadian 2021 berulang lagi.

“Alhamdulillah, air hanya melimpah sampai ke tempat letak kereta ketika pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi.

“Cuma, kami terpaksa menggunakan laluan tikus untuk sampai ke rumah kerana jalan utama masih ditutup berikutan air belum surut,” 

Ezad berkata, isterinya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak atasan berkaitan banjir, namun tiada sebarang tindakan sehingga hari ini.

“Selepas kejadian banjir pada 2021, isteri ada buat aduan, tetapi sampai sekarang tak nampak apa-apa tindakan pun.

“Kami masih trauma kerana tiada di rumah ketika banjir besar, dua tahun lalu. Kami berada di Kedah atas urusan kerja dan bahagian bawah rumah ditenggelami air.

“Jadi, kami harap pihak berwajib dapatlah lakukan sesuatu agar dapat atasi masalah banjir ini,” katanya.

Disebabkan bimbang dengan keadaan rumah, Ezad yang tersingkir daripada program realiti itu, semalam tidak dapat menyertai sidang media kerana ingin bergegas pulang.

Ezad berkata, dia hilang fokus kerana risau memikirkan keadaan rumah, namun reda dengan penyingkiran. Ini kerana akur dengan adat pertandingan, ada kalah dan menang.

Namun, katanya, perkara itu tidak menjadikannya serik menyertai pertandingan lagi.

“Saya tahu memang lambat laun akan tersingkir juga, cuma tak menyangka secepat ini.

“Tapi, saya sudah dapat mengagak daripada komen juri. Saya memang hilang fokus kerana banyak berfikir.

“Bagaimanapun, saya sudah cuba buat yang terbaik, tapi di mata juri masih ada kekurangan. Saya akur kerana itulah adat pertandingan,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Irene Deanna Nafi Ada Hubungan Cinta Dengan Syamsul Yusof

OPPO

Kempen Oppo Fitness Reimagined Peluang Untuk Menang Tablet Oppo Pad 2