Spekulasi Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim berkahwin dua timbul apabila media massa menerima undangan menghadiri majlis persandingan penyanyi bersuara lemak merdu itu. Bagaimanapun, kad jemputan tidak menyatakan butiran lanjut mengenai majlis, sebaliknya hanya meletakkan tarikh, masa dan lokasi acara berkenaan. Tidak kurang juga ada yang menganggap ia sekadar gimik, termasuk kemungkinan satu projek duet bersama penyanyi wanita.
Ezad Lazim bakal bersanding sekali lagi bersama isterinya, Zeana Ramli pada 29 Mac ini bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Di majlis sama, Ezad yang juga vokalis kumpulan Exists akan melancarkan dewan perkahwinan yang diuruskannya dikenali Cinta White Ballroom by Ezad Lazim.
“Memang benar saya mahu bersanding lagi. Bagaimanapun, bukanlah dengan wanita lain.
“Saya juga tidak berkahwin dua seperti spekulasi yang tersebar.
“Saya akan bersanding dengan isteri tercinta, Zeana Ramli sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh pada 30 Mac ini,”
– Ezad Lazim
Sidang media ini telah berlangsung di Dewan Sri Taming, Balakong, petang ini.
Penyanyi lagu Demi Cinta itu berkata, dia dan isteri akan bersanding di White Ballroom, Petaling Jaya pada 29 Mac ini.
“Memilih tema cinta, kami akan bersanding di hadapan anak-anak, ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Mungkin ia sesuatu yang jarang dilakukan ketika meraikan ulang tahun,”
– Ezad Lazim
Ezad juga akan berkongsi pengalaman di majlis perkahwinannya bersama Zeana yang diatur oleh keluarga pada tujuh tahun lalu dan berlangsung di Kedah.
“Perkahwinan kami adalah jodoh yang diatur oleh keluarga. Jadi, majlisnya tidaklah terlalu meriah dan isteri saya tak berpeluang nak memakai gaun pengantin memandangkan majlis perkahwinan kami ketika itu ‘ala kampung’.
“Jadi, kali ini isteri saya akan memakai gaun pengantin seperti diimpikan dan kami nak kongsi hari bahagia itu bersama keluarga dan rakan media yang mungkin tak berkesempatan hadir sekitar tujuh tahun lalu,”
– Ezad Lazim
Pada sidang media, Ezad turut berkongsi perniagaan baharu yang diceburi bersama isteri menerusi syarikatnya, EZ Ventures. Perniagaan diceburi membabitkan perancangan perkahwinan di bawah nama CINTA White Ballroom by Ezad Lazim.
“Perniagaan majlis perkahwinan tidak akan surut. Walaupun ekonomi merosot, pasangan berkahwin tetap ada dan mengadakan majlis resepsi.
“Lagipun, isteri saya mempunyai pengalaman dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan acara. Itu salah satu faktor saya memilih perniagaan perancang perkahwinan ini.
“Ia dinamakan cinta kerana diilhamkan menerusi lagu saya yang kebanyakannya berkisar cinta dan sesuai bagi pasangan yang mahu menuju ke gerbang perkahwinan,”
– Ezad Lazim
Turut hadir, Pengasas Ilham Kayaman Sdn Bhd yang akan bertindak menguruskan majlis persandingan Ezad dan Zeana pada 29 Mac ini.