Esma yang kembali menduda sejak empat tahun lalu berkata, pelakon filem Rock 4 itu, hanyalah rakan dan dakwaan mereka keluar menonton filem bersama, baru-baru ini, adalah salah faham.
“Ketika itu, kami hadir pada majlis tayangan perdana filem Sebelum Iblis Menjemput 2 di mana kami membuat promosinya.
“Kebetulan, ketika itu, kami selesai penggambaran jadi datang bersama… Tidak lebih daripada itu. Jujurnya, buat masa sekarang, tiada siapa yang rapat dengan saya, semuanya sekadar kawan,”
Namun, Esma tidak menolak mencari pengganti kerana lumrah manusia hidup berpasangan selain sunyi tidak berteman.
“Kita ditakdirkan hidup berpasangan. Saya pernah melalui saat itu dan mahu mencari pasangan. Tetapi kalau saya jumpa sesiapa, saya mahu tahu hati budinya dulu. Iyalah, saya sudah dua kali tewas (dalam perkahwinan).
“Saya tidak menafikan kemungkinan kembali berpasangan kerana mahu menamatkan zaman duda secepat mungkin. Namun, ketika ini, seluruh dunia melalui tempoh yang agak sukar, ekonomi pun tidak menentu, jadi lebih baik kita rehat buat sementara waktu,”
Menerusi perkahwinan pertama bersama pelakon, Sherie Merlis, mereka dikurniakan dua cahaya mata. Dalam perkahwinan kali kedua bersama Nitra Sari Omar, Esma mendapat enam anak.
Bagaimanapun, pengarah filem Zaiton : Ceritaku ini memberitahu, dia mahu fokus dalam menghasilkan filem sebelum memikirkan soal perkahwinan.
“Saya fikir semua orang begitu. Selepas perceraian, saya melalui tempoh yang sukar. Saya perlukan kisah baharu untuk bangkit semula. Alhamdulillah, sekarang saya dapat membina semula karier.
“Jadi, saya mahu fokus kepada karier terlebih dahulu. Apatah lagi, saya baru memulakan fasa bekerja di belakang tabir. Kalau ada jodoh, tak ke mana-mana. Apabila kerja sudah siap, bolehlah kita memikirkan soal itu,” katanya.
Esma sedang berusaha menjayakan sebuah naskhah sempena 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Sumber: BH Online