Berita terbaru tentang Shahir telah disiarkan dalam Berita Harian pada hari ini di mana Erra Fazira akui berkawan rapat dengan Shahir.
“Saya tak nafikan pengakuan Shahir yang kami rapat,” demikian reaksi pantas Erra Fazira mengenai cakap-cakap bahawa kedua-dua mereka didakwa menjalin hubungan.
Pendedahan Shahir Zawawi, penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia ke-8 (AF-8) dalam BH Plus hari ini mengesahkan dia dan Erra rapat, sekali gus mengesahkan gosip yang pernah bertebaran sebelum ini mengenai hubungan antara mereka. Malah ia juga secara langsung memberi penunjuk bahawa ‘jejaka misteri’ yang pernah dimaksudkan Erra sejak November tahun lalu adalah Shahir.
“Saya tak nafikan pengakuan Shahir yang kami rapat.. tapi cukuplah setakat itu dulu. Tidak ada apa apa perkembangan yang nak diceritakan pun,” kata Erra ringkas. Jika selama ini, Erra sahaja yang menjadi buruan teman media untuk dikorek siapakah gerangan lelaki yang dikenalinya itu dan Shahir pula dilihat berdiam diri tanpa memberikan sebarang kenyataan.
Lalu pendedahan Shahir itu yang biarpun cukup ringkas menyatakan mereka sebenarnya rapat atau dalam erti kata lain sedang mengenali antara satu sama lain. Cuma Shahir dilihat tidak mahu terlalu galak bercerita mengenai hubungan mereka. Tetapi jelas Shahir sebenarnya sudah melakukan yang terbaik dengan memainkan peranannya sebagai lelaki apatah selama ini di pihak Erra sahaja yang menjadi tumpuan.
Erra sebelum ini membuat pendedahan terbuka dirinya sedang mengenali seseorang sebagai usaha menghentikan pelbagai gosip keterlaluan yang menyerang ibu tunggal itu termasuk dikaitkan dengan golongan VIP dan ahli politik. Malah gambaran daripada mulut Erra mengenai jejaka itu yang masih bujang dan jarang berjumpa mula menimbulkan teka-teki. Ironinya sejak Mei tahun lalu lagi, sudah kedengaran cerita mereka kerap berhubungan di telefon bimbit dan ada yang pernah nampak mereka sedang makan pizza bersama. Artikel itu dikeluarkan di ruangan Jeling Kak Pora bertarikh 25 Mei 2004. Namun cerita itu lenyap seketika apabila Erra pernah menyatakan mereka hanya kawan sesama artis.
Shahir sendiri pula tak menafikan yang mereka pernah bertemu tetapi pertemuan itu semua atas urusan kerja. Ketika keputusan Erra bertudung baru-baru ini juga, timbul cerita yang Shahir juga antara yang mendorong beliau membulatkan keputusan penghijrahan itu.
Mengukuhkan lagi andaian bahawa lelaki yang dimaksudkan ibu kepada Engku Aleesya itu ialah Shahir apabila Erra pernah menyebut lelaki berkenaan mempunyai ciri lelaki idamannya kerana memiliki ilmu pengetahuan yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat. Shahir memang dilihat mempunyai ciri yang dimaksudkan itu.
Sumber: Berita Harian