Ernie menyifatkan tuduhan dilemparkan individu terbabit sebagai mengarut.
“Kalau boleh, saya tidak mahu beri perhatian kepada isu (fitnah yang didakwa disebar individu misteri) kerana ia membuang waktu dan tenaga saya.
“Saya sebenarnya sudah lama diganggu individu terbabit, iaitu sejak beberapa tahun lalu, ketika saya sudah bertunang dengan Syamel.
Saya tidak fikir dia layak mendapat komen (perhatian) daripada saya. Malah, saya tidak mahu tahu kewujudan mereka.
“Pada akhirnya, saya dan keluarga tahu kehidupan kami. Semoga Allah pelihara hubungan saya dengan suami, Syamel,” katanya pada sesi Meet & Greet Paling Ikonik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 di Pasar Seni di sini, hari in
Ernie mendakwa individu terbabit seolah mengalami masalah mental kerana kerap mengambil tahu soal kehidupannya dan keluarga.
“Saya fikir teman pemuzik itu juga dapat mesej sama seperti saya dan Syamel terima, iaitu ada unsur tuduhan dan fitnah.
“Saya fikir orang itu sakit. Kenapa kita hendak layan orang yang kurang berakal? Saya fikir kami diganggu orang sama.
“Ketika diberitahu rakan pemuzik itu, kami tergelak. Mesej seumpama itu sudah selalu kami terima.
“Saya hanya minta teman pemuzik itu bertenang dan tidak buat kenyataan. Individu misteri itu seolah ada banyak masa hendak gali kehidupan masa kini dan lampau saya,” katanya.
Ernie berkata, dia dan Syamel pernah menasihati individu terbabit tetapi tidak diendahkan.
“Saya tidak tahu sama ada individu ini obses dengan saya atau Syamel. Mungkin mereka tidak boleh terima perkahwinan kami.
“Tidak semua suka tengok kita berdua dan berkongsi video manis. Hal ini terjadi mungkin disebabkan cemburu. Saya tak sangka wujud orang seperti itu. Saya doakan yang baik-baik buat dia,” katanya.
Baru-baru ini, Ernie terkait dengan isu skandal timbul selepas pemuzik yang juga teman Ernie, memuat naik hantaran berbentuk tangkap layar. Entri itu antara lain menuduh dia menjalin hubungan dengan penyanyi Astana itu hanya kerana mengenakan pakaian sedondon di Instagram Story (IGs).
Pemuzik terbabit menafikan dakwaan itu dan menganggap Ernie hanyalah rakan sekerja.