SIAPAKAH YANG AKAN MENGHAPUSKAN SUMPAHAN AWANG?
Episod terakhir bersiaran sebagai telefilem menerusi Skrin Di 9
Episod Terakhir Friday I’m In Love akan bersiaran selama 2 jam secara telefilem menerusi Skrin 9 pd mlm ini.
Kisah percintaan malang Awang belum berakhir lagi. Putus cinta setiap hari Khamis bagaikan menjadi rutin mingguan buat Awang, bahagia hanya menjadi milik Awang buat seketika. Hanya cinta sejati dapat menyelamatkan Awang dari terus merasai pahitnya cinta.
Jika kebiasaannya Friday I’m In Love (FIIL) disiarkan melalui slot Aurora pada setiap Khamis jam 8.30 malam, tetapi istimewa buat peminat setia drama bersiri ini, episod terakhir FIIL bakal disiarkan sebagai sebuah telefilem pada hari Rabu pula (18 Julai, 8.30 malam) menerusi slot Skrin Di 9 eksklusif di TV9 (Saluran 119).
Telefilem ini akan bersiaran selama dua jam untuk memberikan lebih kepuasan kepada mereka yang tertunggu-tunggu untuk melihat gadis mana yang dapat menghapuskan sumpahan Awang.
Drama komedi romantis yang digarap kemas oleh pengarahnya Faizul Abdul Rashid ini diterajui oleh Qi Razali sebagai Awang, dan rakan-rakannya Pitt (Aiman Hakim Ridza), Ana (Bella Dally), Nisha (Nelydia Senrose), Hansem (Ryzal Jaafar) dan Jo (Zoey Rahman). Tiga belas episod yang lalu turut membariskan pelakon-pelakon wanita popular seperti Puteri Sarah Liyana, Izara Aishah, Chomel Fana, Tania Hudson, Fouziah Gous, Miera Liyana, Nabila Huda dan ramai lagi yang telah menyumbang kepada keunikan drama ini.
Cinta Awang yang hanya bertahan selama seminggu dek sumpahan Nenek Nurbaya seringkali mengecewakan hatinya yang telah jatuh cinta dengan setiap gadis tersebut. Pelbagai karakter dan ragam mereka telah menghiasi alam cinta mingguan Awang yang mencuba sedaya upaya untuk menghapuskan sumpahan itu.
Di dalam episod sebelum ini pula, Awang sudah mula menyukai teman karibnya sendiri iaitu Nisha tetapi Nisha pula dilanda dilema kerana dia masih mempunyai perasaan terhadap teman lelakinya, Zain, walaupun mendapat tentangan keras dari bapanya sendiri.
Rakan-rakan Awang sendiri tidak bersetuju jika Awang jatuh cinta dengan Nisha kerana risau mereka akan dikecewakan dengan sumpahan tersebut. Pada masa yang sama, dilema menggunung apabila dua wanita muncul dalam kisah cinta Awang iaitu Elly (Nabila Huda) dan Odette (Tasha Shila).
Sepanjang drama ini bersiaran, kita dapat melihat bagaimana Awang menaiki skuter Eclimo berwarna jingga untuk membuat temu janji dengan gadis-gadis yang dikenalinya. Anda, penonton setia TV9, juga berpeluang untuk membawa pulang skuter Eclimo ini dengan menyertai peraduan episod akhir FIIL iaitu dengan menjawab soalan ini: “Siapakah yang akan menghapuskan sumpahan Awang?”.
Sila layari laman web utama FIIL iaitu www.tv9.com.my/fridayiminlove untuk keterangan lanjut tentang peraduan yang menjanjikan ganjaran lumayan ini.
Telefilem ini akan merungkai dilema yang selama ini menghantui hidup Awang. Setelah dia menemui pelbagai jenis wanita dan melalui pelbagai dugaan, apakah pengakhiran kisah cinta jejaka ulat buku ini? Para penonton setia drama ini pasti ternanti-nanti apakah kesudahan kisah cinta Awang. Siapakah gadis yang berjaya merungkai sumpahan yang membelenggu hidup Awang selama ini? Siapakah sebenarnya cinta sejati Awang? Atau mungkinkah cinta yang dicari selama ini tidak pernah jauh dari pandangan Awang?
Pastikan temujanji anda bersama para pelakon Friday I’m In Love pada 18 Julai ini, hari Rabu jam 8.30 malam hanya di Skrin Di 9!