DRAMA RAWAN KINI SUDAH TIBA KE PENGHUJUNG
Jika anda penonton setia drama Rawan, pastinya sudah berdebar-debar untuk mengikuti pengakhiran cerita ini di TV9.
[pullquote align=”right”]Dia mempunyai rahsia silam yang cuba disembunyikan namun kerana kesepian yang mencengkam, kehidupannya kembali merana.[/pullquote]
Kasih sayang yang didambakan Zura Atiqah (Faralyna Idris) tidak pernah hadir dalam hidupnya sehinggalah hadirnya seorang jejaka iaitu, Kamarul (Fadzil Zahari) yang sudi untuk menghulurkan tangan berkongsi suka dan duka bersamanya.
Rawan… rasa gundah, sedih, pilu menjadi nadi drama bersiri terbitan MIG Production Sdn. Bhd. yang dilakonkan oleh Faralyna Idris, Fadzil Zahari, Mikeal Andre, Erin Malek dan Lynda Roslan.
Episod akhir ini akan mendedahkan siapa sebenarnya Zura Atiqah. Zura Atiqah mempunyai detik hitamnya tersendiri yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.
Di zaman remajanya, Zura pernah dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa atas kesalahan membunuh ibu dan kakaknya. Dia tertekan kerana ibunya sering membeza-bezakannya dengan kakaknya yang dirasakan cukup sempurna, cantik dan pandai. Ketika tragedi itu berlaku seperti ada satu suara berbisik yang menyuruhnya melakukan perbuatan kejam itu. Akhirnya dia telah disahkan gila dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa.
Zura cuba memulakan hidup baru di Kuala Lumpur akan tetapi bekerja di firma guaman itu dan mengendalikan kes pesakit mental bernama Azrina (Erin Malek) bagai membuka kembali sejarah lama yang dipendam Zura. Adakah selama ini apa yang terjadi dalam hidupnya hanyalah imaginasinya yang cuba mengisi kekosongan hidupnya yang sepi tanpa keluarga?
Segalanya hanya akan terjawab dalam episod akhir Rawan, pada 26 Disember ini, 10.30 malam hanya di TV9!