Nampaknya minggu ini peminat setia drama siri ‘Miranda’ dan drama siri ‘Romi Cinta Julia’ dari slot Lestary bakal mengetahui kesudahan dua drama popular TV3 ini yang telah bersiaran hampir tiga bulan.
MIRANDA mengisahkan tentang gadis bernama Miranda yang melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas memutuskan tali pertunangan dengan Izwan. Kemudian, Miranda menumpang di rumah bapa saudaranya. Sejak itu, kehadiran Miranda mula mendapat perhatian dari Ammar. Namun, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan untuk bersama.
Di episod ke-15 ini, Miranda (Fasha Sandha) dan Ammar (Dazrin Kamaruddin) masih dalam keadaan kritikal setelah ditembak oleh Izwan. Sementara itu, Jamilah menemui bungkusan yang mengandungi bahan sihir yang digunakan oleh Fezrul untuk mengikat Miranda. Jamilah memberitahu Datuk Shukri dan beliau berusaha untuk membebaskan Miranda dari ilmu sihir itu. Bungkusan sihir itu diberikan kepada ustaz untuk memulihkan Miranda.
Pada masa yang sama, keadaan Ammar mula sedar dari koma. Datuk Shukri gembira melihat keadaan mereka yang semakin pulih. Selepas kejadian yang hampir meragut nyawa, Ammar dan Miranda nekad untuk hidup bersama. Namun, Datuk Shukri mendedahkan siapa Miranda dan Ammar. Adakah Miranda dan Ammar sebenarnya adik beradik kandung? Dapatkah mereka berdua menikmati kebahagiaan untuk hidup bersama?
Berbeza pula dengan jalan cerita drama siri Romi Cinta Julia menerusi slot Lestary, yang menampilkan gadis bernama Julia (Aisya Hasnaa) yang suka memberontak dalam hidupnya. Sikap Julia yang sering menimbulkan masalah ternyata menguji keegoan Romi (Syarul Ridzwan) sebagai suami.
Di episod akhir ini, Jeff (Aidil Aziz) bertemu Julia untuk memohon maaf dan Jeff juga membuat pengakuan bahawa dia tidak pernah meniduri Julia. Julia bersyukur kerana anaknya itu adalah dari darah daging Romi. Namun, segalanya sudah terlambat kerana Romi telah pun menceraikannya.
Sementara itu, Romi cuba memujuk Julia untuk kembali rujuk kepadanya setelah mendapat tahu kebenaran tentang Julia dan anaknya itu. Bagaimanapun, Julia berkeras hati untuk menjauhkan diri dari Romi. Julia merasakan dirinya tidak layak untuk suami yang sebaik Romi. Berjayakah Romi melembutkan hati Julia untuk kembali menjadi isterinya setelah Romi membuat keputusan untuk berkahwin dengan Suzana sebelum ini?
Bagi penonton dan peminat setia drama siri MIRANDA, jangan lupa untuk menyaksikan episod kemuncak ini pada hari Rabu, 21 Mei 2014 pukul 9.00 malam manakala bagi drama siri Romi Cinta Julia pada hari Khamis, 22 Mei 2014 pukul 9.00 malam! Bagi penonton yang terlepas menyaksikan drama siri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama siri ini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.