in

Episod Akhir ARIANA ROSE Cecah 4.5 Juta Penonton

Drama bersiri Ariana Rose yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3 berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan penonton TV3 setiap kali bersiaran. Baru saja melabuhkan tirainya pada 13 Februari 2014, episod akhir “Ariana Rose” berjaya mencecah 4.5 juta penonton atau 55% syer penonton (Total 4+) (sumber: Nielsen Audience Measurement) sepanjang siaran dari jam 7.00 petang – 8.00 malam. Budiey nak ucapkan sekalung tahniah buat TV3.

Bukan sahaja di kaca televisyen, “Ariana Rose” juga mendapat sambutan hangat di laman sosial Twitter setiap kali bersiaran apabila berjaya membolosi takhta trending nombor satu di Malaysia dengan kata kunci #ArianaRose. Di Portal Tonton pula, lebih daripada 4 juta tontonan dicatatkan sepanjang “Ariana Rose” disiarkan.

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 berkata:

Slot Akasia bukan sahaja popular malah slot drama ini juga merupakan sebuah jenama yang kukuh dalam kalangan penonton setia TV3. Sekali lagi, ‘Ariana Rose’ terbukti sebagai drama pilihan nombor Satu dengan kadar tontonan yang tinggi dan juga trending di laman sosial setiap kali bersiaran. Malahan, tayangan eksklusif Ariana Rose bersempena dengan sesi jelajah Drama Festival Kuala Lumpur pada 11 Februari telah diraikan lebih daripada 5000 peminat yang enggan melepaskan peluang untuk bertemu dengan bintang pujaan mereka. Di sini, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penonton yang setia mengikuti drama Ariana Rose ini.”

Drama yang diadaptasi dari novel ‘The Wedding Breaker’ terbitan Karya Seni ini merupakan sentuhan pengarah berkaliber, Raja Alauddin Shah dan nukilan skripnya pula oleh Sofia Rhyland. Drama bersiri 28 episod terbitan Pena Creative ini dibintangi pelakon-pelakon popular seperti Keith Foo (Tengku Adam Kamil), Nur Fathia (Ariana Rose), Hisyam Hamid (Harith), Nabila Huda (Liyana), Arja Lee (Ramzul), Tasha Shilla (Tengku Juwita), Dato’ Jalaluddin Hassan (Dato’ Wan Jusoh), Ziela Jalil (Datin Asra), Mustapha Kamal (Tengku Mukhriz), Liza Abdullah (Tengku Lisdania), Rahim Omar (Tengku Sidin), Jasmin Hamid (Tengku Marsela), Syatilla Melvin (Sophie), Wan Sharmila (Linda), Jonathan Putra (Samuel) dan ramai lagi.

Selepas ‘Ariana Rose’ melabuhkan tirai pada 13 Februari, saksikan drama bersiri terbaru yang berjudul JIKA ITU TAKDIRKU terbitan MIG Production Sdn Bhd mulai 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam. Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd ini diarahkan oleh Eoon Shuhaini dengan nukilan skrip oleh panel MIG membariskan pelakon-pelakon popular seperti Intan Ladyana, Shah Iskandar, Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Arash Mohd, Jasmin Hamid, Azwan Kombos dan ramai lagi.

Teraju utama drama Ariana Rose

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Erra Fazira Sah Bercerai Talak Satu

Erra Fazira Setuju Tak Minta Nafkah, Engku Emran Dapat Hak Penjagaan