Sekian lama berteka-teki dan membiarkan persoalan mengenai tarikh pernikahan mereka menjadi tanda tanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 42, menamatkan spekulasi itu apabila diijabkabulkan dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, 29, petang tadi.
Dengan sekali lafaz, bekas suami Erra Fazira itu sah menjadi suami kepada pelakon yang mesra disapa Bella itu pada jam 6.57 petang. Pasangan itu dinikahkan bapa Bella, Busye Amir dengan mas kahwin sebanyak RM300 pada majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di ibu negara.
Pada majlis itu, Engku Emran turut menghadiahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Majlis pernikahan pasangan mempelai itu berlangsung secara sederhana dan dihadiri kaum keluarga terdekat serta sahabat karib.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Engku Emran dan Bella merakamkan penghargaan serta terima kasih kerana memberikan mereka ruang untuk melangsungkan acara pernikahan tanpa liputan media. Engku Emran dan Bella juga mengharapkan pernikahan yang berlangsung tadi akan meredakan segala spekulasi yang dilaporkan di media-media sosial sebelum ini.
“Kami berdua amat menghargai kerjasama rakan media. Doakan perkahwinan kami dirahmati Allah SWT dan jodoh kami kekal hingga ke akhir hayat,” kata pasangan itu.
Majlis pernikahan Engku Emran dan Bella berlangsung secara sederhana dan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat karib.
Pasangan berkenaan turut diraikan dalam satu majlis resepsi pada sebelah malam.
Dalam pada itu pasangan sama cantik sama padan ini sempat merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan wartawan kerana memberikan ruang kepada mereka untuk melangsungkan acara pernikahan secara sederhana dan tertutup.
Barisan artis terkenal Indonesia yang juga rakan-rakan Bella seperti Melly Goeslow, Titi Kamal, Irwansyah, Teuku Wisnu dan ramai lagi turut hadir menyaksikan pernikahan pasangan itu.
Tidak ketinggalan pelakon terkenal tanah air, Nora Danish dah suaminya, Nedim Nazri iaitu orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Engku Emran dengan Bella juga menjadi sebahagian daripada tetamu.
Sebelum ini, Emran pernah mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 dengan pelakon Erra Fazira tetapi berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Sumber: Berita Harian