Bermula dengan bergerak solo pada 2016, Hakim Khan, 20, atau nama sebenarnya Muhammad Al Hakim Khan Farrukh Hadi memanjatkan kesyukuran apabila bakat nyanyian mendapat perhatian syarikat rakaman 17 Eleven Music. Penyanyi berdarah kacukan India di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu itu bertuah apabila sudah merakamkan single pertama di bawah 17 Eleven Music berjudul Emoji Hati yang dilancarkan secara rasmi bulan lalu.
Biarpun lagu Emoji Hati itu adalah lagu ketiganya, Hakim Khan yakin dan optimis tuah akan berpihak pada dirinya asal sahaja niat dan perjuangan asal melangkah ke dalam industri tidak tersasar.
Malah, dua single yang pernah dihasilkan sebelum ini namun kurang mendapat tempat iaitu Kau Mampu (2016) dan Terus Cuba feat Mimi Fly (2018) menjadi pengalaman berharga buat dirinya untuk terus mencuba tanpa mengenal erti putus asa.
“Saya minat muzik sejak kecil lagi. Bagi segelintir pihak, penyanyi itu berjaya dalam industri nak nampak menjadi jika lagu dan video muzik mencecah jutaan tontonan, masuk carta lagu di radio atau menang Anugerah Juara Lagu. Tapi bagi saya rezeki itu akan datang kalau buat muzik dengan ikllas. Pendek kata, kena ada niat yang betul dan bukan masuk industri sebab nak popular semata-mata.
“Macam saya, sejak 2013 lagi saya mencuba untuk menempatkan diri dalam bidang ini. Saya pernah menyertai uji bakat program Idola Kecil tapi tidak terpilih. Seterusnya, pada 2014 saya cuba nak masuk program Ceria Pop Star pula, pun gagal. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba.
“Akhirnya, pada 2016 saya ditawarkan untuk merakamkan single oleh seorang komposer yang juga kawan mak saya iaitu Aidil AF3. Dari situ, bermula perjalanan saya sebagai penyanyi. Mungkin sepanjang lima tahun ini orang masih tidak mengenali saya, tapi tidak mengapa kerana ini semua adalah proses untuk saya. Malah, sedikit pun tidak membuatkan saya putus asa. Saya masuk dalam bidang ini sebab nak tunjuk muzik yang saya cuba bawakan,” katanya.
Jika single pertama bergenre pop dan kedua pula balada, bagi single Emoji Hati ini Hakim Khan memilih untuk menggabungkan kedua genre itu.
“Kecenderungan saya lebih kepada muzik rancak atau pop. Dalam masa sama suka mengenai sesuatu yang jiwang atau cinta. Jadi, untuk projek ini saya terfikir kenapa tidak gabungkan keduanya yang mana menerusi Emoji Hati ini melodi adalah pop dan lirik pula lebih kepada balada.
“Alhamdulillah, walaupun lagu ini masih belum dikenali secara meluas, saya bersyukur dengan sambutan diberikan di platform digital dan YouTube. Saya faham, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini ia sedikit sebanyak menyukarkan aktiviti promosi di radio dan TV. Tapi, saya percaya dengan strategi dan perancangan yang diatur pihak 17 Eleven Music.
“Dalam masa sama, saya juga tetap giat mempromosikan lagu Emoji Hati ini di laman sosial peribadi. Pada tahap ini, saya tetap bersyukur dan menyifatkan ia sesuatu yang baik,” katanya.
Berkongs lanjut mengenai lagu ciptaan Shazee Ishak dan lirik oleh Raja Muizuddin Shah itu, Hakim Khan berkata ia bersifat menyeluruh dan tidak ada kaitan dengan dirinya.
“Lagu ini mengisahkan bagaimana hubungan cinta seorang lelaki dengan wanita yang tergantung disebabkan sikap wanita itu yang bermain tarik tali. Lagu ini secara menyeluruh dan bukan fasal saya.
“Secara peribadi, saya pernah bercinta. Taapi sekarang sudah solo dan memang nak fokus pada muzik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hakim Khan yang juga anak jati Kuala Lumpur berkongsi dia mendapat sokongan penuh kedua ibu bapanya.
“Ibu bapa sokong saya menjadi penyanyi. Ayah memang minat muzik juga, tapi dia tidak ada peluang nak jadi penyanyi. Apabila saya dapat peluang ini, kiranya saya macam teruskan cita-cita dia.
“Ibu bapa juga selalu nasihat dan pesan supaya sentiasa merendah diri, hormat orang dan paling peting jangan putus asa. Saya kena percaya pada proses yang mana jangan mengalah. Bagi saya lambat atau cepat itu adalah rezeki,” katanya menjadikan Faizal Tahir sebagai ‘inspired’ dalam berkarya.