Pernah menjadi pilihan jenama kecantikan sebelum ini, Emma Maembong kini terus laris diburu jenama lain pula dalam mengabadikan dirinya sebagai wakilan dalam mempromosikan produk. Terbaru, Emma dilamar menjadi duta Maixara.
[pullquote]Sebelum ini, wajah Diana Rafar pernah dipilih untuk produk yang sama. Kini tanggungjawab itu beralih kepada Emma dalam mempromosikan rangkaian produk Maixara. Maixara terbentuk di bawah syarikat Mama Secret Industry (MSI) yang diusahakan pasangan suami isteri sejak 2009.[/pullquote]
Di bawah MSI dan kendalian sepenuhnya oleh Azman bin Mohd Salleh selaku Pengarah Urusan dan Nor Ainna binti Ibrahim yang bertindak sebagai Pengasas produk jenama Maixara, beberapa projek dijalankan termasuk membuka Butik Mama dan restoran Yourgurt di Bangi.
Yourgurt sebelum ini pernah menggunakan khidmat Aaron Aziz sebagai duta. MSI mula berjinak-jinak dan maju setapak lagi dalam aktiviti pengilangan produk makanan tambahan kesihatan dan kecantikan menerusi jenama Maixara muncul sejak Disember 2013.
Kini Maixara mempunyai lima rangkaian produk iaitu MAIXARA C SENTIAL, MAIXARA WHITE ESSENTIAL, MAIXARA Q BERRY, MAIXARA SLIM LOOK dan MAIXARA MIRACLE. Menurut Emma, kontraknya buat permulaan bersama Maixara diikat untuk tempoh setahun. Malah ketika perjumpaan sulung bersama pihak Maixara diadakan lagi, Emma turut ditemani orang kuat syarikat pengurusan Wire Fame Entertainment seperti Zizan Razak, Marina Juki dan Faliq Jamadin.
“Selepas lebih sebulan mencuba produk Maixara, ia ternyata cukup serasi dengan Emma. Emma sudah mencuba Maixara C Sential, Maixara White Essential dan Maixara Q Berry. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang bukan saja untuk penjagaan kulit tetapi juga sebagai pemberi tenaga. “Bagi kerjasama yang terjalin dengan Maixara ini ia semestinya wujud situasi menang-menang dan memberi keuntungan untuk kedua belah pihak. Paling penting produk ini dianggap sebagai keperluan dan kehendak semasa dalam dunia yang sibuk ini. Emma sendiri meyakini produk Maixara dan tiba masanya orang luar mencubanya pula.
“Apapun terima kasih kepada pihak Wire Fame dan Maixara atas kesempatan ini. Tak dilupakan buat orang kuat Maixara, Kak Ainna dan suaminya, Abang Azman,” katanya yang masih mempromosikan jenama Silky Girl dan Ali Cafe Kacip Fatimah.
Dalam perkembangan lain, Emma kini dalam fasa berehat. Kali terakhir dia berada di lokasi penggambaran telefilem Syurga Tanpa Cinta arahan Michael Ang.
“Emma berehat dan sambil-sambil itu Emma teruskan minat melukis di samping membantu ayahnya (Ismail Maembong, pelukis negara). Peluang berehat ini juga dapat Emma manfaatkan sebaik mungkin selepas sibuk di arena lakonan,” kata Emma yang tidak lagi berahsia mengenai kisah cinta bersama Zizan Razak.
Bagi Nor Ainna, pemilihan Emma dilihat sebagai seiring dengan penampilan wajah baru Maixara yang lebih segar. Produk Maixara kini juga berstatus di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Peranan yang sama pernah dipikul Diana dulu kini diambil alih Emma pula.
“Kehadiran Emma selaras dengan perubahan baru Maixara. Bukan saja dari aspek pembungkusan semula, produk Maixara juga dirumus dengan formula baru dan pastinya produk kami mempunyai kandungan bahan asli. Semestinya tiada pengawet atau pewarna tiruan.
“Maixara dihasilkan daripada formula kami sendiri dan dikilangkan sendiri di kilang kami yang beroperasi di Ulu Selangor. Emma diharap mampu meneruskan kelangsungan survival Maixara di pasaran bukan saja di Malaysia tetapi negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei tak lama lagi,” katanya.
Tambah Nor Ainna lagi, pertemuannya dengan Emma berlangsung awal Mac lalu di sebuah hotel di ibu kota.
“Ketika pertemuan itu, saya ada berikan dia sampel produk kami untuk dicuba dan Alhamdulillah ia cukup serasi dengannya. Insya-Allah diharap juga pemilihan Emma akan meneruskan lagi fenomena Maixara di pasaran. Saya yakin dia mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
“Emma pun jarang dihimpit kontroversi. Bakat lakonannya juga kian menyerlah. Kontroversi atau gosip manja itu saya yakin lumrah di arena seni dan dia berjaya mengharungi sebaik mungkin. Semoga kerjasama Emma dan Maixara ini akan terus memberi persaingan dinamik dan positif untuk produk seumpamanya di negara kita,” kata Nor Ainna.
Sebarang info mengenai Maixara boleh didapati di akaun laman sosial rasmi Maixara iaitu di Facebook MAIXARA – OFFICIAL FANPAGE serta Instagram @maixaraofficial atau pun dengan melayari www.maixara.com.my.