Pelakon jelita Emma Maembong tidak mahu dianggap mencari publisiti mengenai hubungannya dengan pelawak terkenal Zizan Razak kerana buat masa ini beliau lebih selesa berkawan rapat sahaja.
“Bukan saya nak berteka-teki mengenai status kami. Terus terang ini bukan permainan atau gimik untuk raih publisiti. Biarlah orang tahu status kami sebagai kawan rapat saja, kalau tidak ada jodoh lebih mudah nak jelaskan nanti,” ujarnya kepada Harian Metro.
Jelas aktres yang mula dikenali menerusi drama “Kau Yang Terindah” itu menjelaskan dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan untuk memilih pasangan hidup kerana soal jodoh ini Tuhan sahaja yang tahu.
“Macam mana kalau satu hari nanti hubungan kami putus dan tak ke mana pun, tentu orang akan buat spekulasi itu dan ini, jika saya sibuk canang kami bercinta sekarang. Sebab itu, lebih senang anggap kami berkawan rapat.”
Tambah Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani binti Ismail, 21, dia tidak merasakan hubungannya ini berlandaskan cinta kerana perasaannya terhadap pelawak itu juga masih tidak pasti dan ragu-ragu.
“Saya tak nak cakap dia kekasih saya dan begitulah sebaliknya. Sebenarnya saya sendiri tak tahu adakah kekasih atau kami cuma kawan rapat. Untuk cakap kami bercinta mungkin belum tiba masa sesuai. Lainlah kalau betul tertulis jodoh, sudah tentu kami akan berkongsi dengan semua. Selagi belum ada apa-apa, rasanya tak perlu cakap banyak mengenai hubungan ini.”
Terdahulu, Zizan, 29, dan Emma telah berkongsi beberapa keping foto di laman sosial Instagram milik mereka dengan saling memberi hadiah minyak wangi yang mana itu menyaksikan hubungan mereka begitu romantik seperti pasangan dilamun cinta.
Namun begitu, Emma menegas perkara sebegitu adalah perkara biasa antara rakan rapat dan tidak perlu digembar-gemburkan.
“Seperti saya cakap, kalau sudah selesa dengan seseorang tidak pelik pun kalau kita belikan hadiah. Saya rasa perbuatan memberi hadiah kepada seseorang yang rapat adalah perkara biasa sebagai tanda ingatan.”